Pencipta siri TV Black Mirror sekali lagi bekerjasama dengan Netflix untuk satu filem istimewa – Death To 2020. Ia adalah filem dokumentari parodi yang akan mengejek kejadian-kejadian yang berlaku pada tahun 2020. Hugh Grant dilaporkan akan menjadi pakar sejarah dalam filem ini. Hari ini, video acah pertama telah diperlihatkan.
Filem ini dikatakan adalah satu format baru yang mempunyai banyak peluang. Ia adalah persembahan komedi premium yang dahsyat dan lain daripada yang lain. Segala agenda, tragedi atau apa jua isu yang berlaku pada tahun 2020 diejek atau dijadikan parodi.
Dari video acah, tidak banyak yang dikongsi. Semua seakan bersiap sedia untuk menjawab soalan berkenaan hal-hal yang berlaku pada tahun 2020. Lisa Kudrow dilihat seakan berada di White House (ada kaitan dengan Space Force?), Samuel L. Jackson seakan serius menjawab sesuatu, Kumail Nanjiani turut kelihatan – tetapi tiada sebarang info mengenai apakah topik yang akan mereka bincangkan.
Pelakon lain adalah Samuel L. Jackson (MCU, Nick Fury), Leslie Jones (Ghostbuster, Patty), Lisa Kudrow (Friends, Phoebe), Joe Keery (Stranger Things, Steve Harrington). Lain pelakon yang disenaraikan termasuklah Kumail Nanjiani, Tracey Ullman, Samson Kayo, Diane Morgan, Cristin Milioti dan banyak lagi. Filem ini akan disiarkan di Netflix pada 27 Disember ini pada pukul 4 petang di Malaysia.