Discord ialah sebuah perisian dan aplikasi berborak yang sering digunakan khususnya untuk tujuan melepak secara digital ataupun untuk bermain permainan komputer secara berjemaah.
Perisian Discord untuk desktop sebelum ini sudahpun hadir dengan sebuah ciri yang membolehkan pengguna untuk berkongsi skrin desktop mereka dengan rakan-rakan ataupun orang ramai.
Terkini, ia dilaporkan bahawa Discord telah mula mengeluarkan ciri tersebut secara kecil-kecilan untuk pengguna aplikasi mudah-alih mereka pula, dimana mereka boleh menstrimkan skrin peranti mereka terus daripada aplikasi tersebut.
Ciri tersebut dikatakan cukup mudah digunakan, dan perkongsian tersebut boleh dilakukan secara bersendirian, ataupun apabila anda berada didalam sebuah saluran suara dan berkongsinya secara beramai-ramai.
Menariknya, ciri ini membolehkan anda berkongsi apa-apa yang anda lihat pada skrin anda, tidak kira aplikasi apa yang digunakan. Ciri ini akan dikeluarkan secara berperingkat, dan tidak memerlukan langganan Nitro untuk menggunakannya.