Skip to main content

Drawn To Life boleh dikatakan satu siri permainan yang sangat dekat dengan saya sendiri di mana saya habiskan berjam-jam bermain permainan ini di konsol Nintendo DS beberapa tahun lepas. Antara sebabnya adalah keupayaan untuk menghasilkan watak sendiri di campur dengan platformer tekaria permainan yang menarik, sekaligus membuatkan siri ini adalah satu permainan yang sangat menarik.

Kini, selang beberapa tahun kemudian, 505 Games bersama Digital Continue membawa kembali siri ini iaitu Drawn To Life: Two Realms dan ini adalah ulasan kami ketika bermain di PC.

Hasilkan Adiwira Anda Sendiri Dengan Visual Pixel Yang Menawan Dan Comel

Semestinya apa yang membuat siri permainan Drawn To Life ini sangat menarik adalah pemain diberi peluang untuk menghasilkan watak sendiri di mana pemain boleh melukis dengan menggunakan “Creation Tool” yang disediakan di dalam awal permainan, di mana pemain sekali lagi akan diberi tugas sebagai seorang “Pencipta” dan perlu menghasilkan watak pemain.

Melaluinya, pemain boleh tetapkan pelbagai jenis warna, dan semestinya segala kebebasan untuk melukis di ruangan kotak yang disediakan di mana ia adalah berdasarkan bahagian-bahagian badan watak adiwira pemain. Dengan kebebasan itu, saya sendiri juga telah menghasilkan pelbagai watak kesukaan saya termasuklah watak Iron Man, seperti anda lihat di atas mempunyai hasil kualiti yang agak untuk kebebasan dan kelengkapan di dalam permainan yang tersedia melalui permainan ini.

Selain daripada menghasilkan watak pemain sendiri, permainan ini juga menyediakan beberapa templat yang pemain boleh gunakan untuk membantu pemain menghasilkan watak ataupun menggunakan sebarang watak yang sedia ada. Pemain juga boleh menambah pelbagai jenis pelekat untuk memberi beberapa kelainan dan aksesori buat watak pemain. Namun, aksesori mahupun rekaan tersebut hanyalah sekadar rupa sahaja dan ia tidaklah memberi sebarang kesan di dalam permainan.

Semestinya ia tidaklah terhad setakat itu sahaja di mana setelah pemain maju di dalam permainan, pemain juga akan diberi tugasan untuk melukis dan menghasilkan pelbagai jenis barangan buat penduduk pemain yang mana juga diberi kebebasan untuk pemain melukiskannya.

Semestinya konsep permainan ini dengan elemen penghasilan watak dan barangan sendiri memberi satu pengalaman yang sangat dekat antara permainan ini dan pemain sekaligus membawa kembali beberapa pengalaman nostalgia saya untuk siri permainan ini.

Penceritaan Yang Agak Perlahan Dan Meleret

Dari segi penceritaan, semestinya permainan ini adalah sekuel terus daripada permainan sebelum ini di mana ia sekali lagi memfokuskan Raposa Village bersama pelbagai watak dari permainan sebelum seperti Mike, Heather dan juga Mari.

Namun apa yang berlainannya kali ini adalah pemain mempunyai kebebasan untuk bergerak di dalam dua dunia berbeza iaitu dunia Raposa Village iaitu dunia ‘fantasi’ mimpi permainan dan Belleview iaitu dunia “Manusia” dengan menggunakan “Book Of Imagination”. Melaluinya, pemain akan bergerak dan berinteraksi dengan pelbagai jenis watak di dalam dunia tersebut disamping menyelesaikan pelbagai jenis tekaria, konflik antara penduduk dan pada masa yang sama mengumpul pelbagai barangan untuk menyah-kunci ganjaran sama ada peringkat baharu ataupun pelekat yang pemain boleh gunakan di watak pemain.

Di dalam kebebasan dunia tersebut, pemain secara amnya boleh menerokai perkampung kecil tersebut dengan bercakap dengan watak, mencari barangan tersembunyi di mana kali ini, ia mempunyai bentuk kamera isometrik dengan rekaan kampung yang lebih menawan dengan visual pixel.

Meskipun begitu bagi anda yang pernah bermain permainan siri Drawn To Life terutamanya habiskannya dan melihat kedua-dua pengakhiran yang ditukarkan dan tidak ditukarkan, ia membuatkan permainan ini berasa agak kecil dan perlahan.

Walaupun ia mempunyai penceritaan sekuel terus daripada permainan sebelum, memandangkan untuk menggerakkan naratif penceritaannya agak perlahan, ia membuatkan keseluruhan permainan ini berasa sangat meleret dan memenatkan. Terutamanya saat di mana ia memerlukan anda untuk mempunyai jumlah bintang yang mencukupi untuk bergerak ke peringkat seterusnya, seolah membuatkan permainan ini berasa satu permainan mudah-alih percuma.

Kandungan Permainan Bentuk Permainan Berulangan

Secara amnya, fokus utama permainan Drawn To Life: Two Realms ini adalah pemain akan diletakkan di dalam beberapa peringkat permainan dan pemain perlu menyelesaikan tekaria-tekaria yang tersedia dan ke penghujung permainan sama ada tiba di garisan penamat, menumpaskan segala musuh ataupun menyelamatkan watak lain sebelum masa tamat.

Oleh sebab itu, permainan ini lebih memfokuskan bentuk penyelesaian tekaria platformer dan pemain boleh bergerak dengan melompat biasa dan juga melompat atas musuh untuk melompat ke lokasi yang lebih tinggi. Pemain juga boleh menumpas musuh dengan melompat atasnya ataupun membuat serangan pusingan untuk menjatuhkan musuh.

Dari segi cabaran, pemain juga akan menemui beberapa lokasi yang membenarkan pemain untuk berinteraksi dengan musuh dan pada masa yang sama pemain boleh menyusun atur “Mainan” yang mana akan membantu pemain untuk bergerak dan menyelesaikan sesuatu peringkat tersebut. Konsep ini juga membuatkan bentuk platformer menjadi lebih bebas dan menarik atas sebab pemain boleh melakukan sebarang pendekatan yang berbeza mengikut gaya pemain sendiri.

Melaluinya, ia juga akan memberi peluang untuk pemain eksperimentasi dengan pelbagai pilihan yang tersedia dan pada masa yang sama seolah menghasilkan peringkat tekaria permainan sendiri walaupun hanya mengubah beberapa aspek asas peringkat permainan sahaja.

Permainan ini juga tidak mempunyai sebarang kesan penalti utama buat pemain, sekaligus ia membuatkan ia agak mudah dan sesuai untuk dimainkan untuk seisi keluarga. Namun ini tidak bermakna tekaria-tekaria yang tersedia adalah mudah dan ringkas, tidak sama sekali. Terdapat beberapa peringkat permainan yang sangat mencabar dan sememangnya membuat saya sendiri memikir sehingga berjam-jam untuk menyelesaikannya.

Akan tetapi, dukacitanya tidak seperti permainan sebelum ini, Drawn To Life: Two Realms kali ini mempunyai satu masalah utama yang menyebabkan saya amat kecewa iaitu ia tidak lagi menyertakan bentuk perlawanan ketua musuh dan hanya memfokuskan bentuk permainan penyelesaian tekaria sahaja. Ini sekaligus membuatkan permainan ini berasa sangat kecil dan terlalu ringkas untuk dikatakan sebagai satu permainan sekuel siri Drawn To Life. Ia juga membuatkan segala tekaria-tekaria yang pemain lakukan berasa berulangan dan bosan untuk diteruskan.

Ditambahkan pula permainan ini memaksa pemain untuk mengumpul jumlah bintang untuk menyah-kunci peringkat dan penceritaan seterusnya permainan, lagi membuatkan permainan ini berasa begitu meleret dan memenatkan. Secara keseluruhan, pemain akan habiskan masa untuk menyelesaikan tekaria berulang kali untuk dapatkan kesemua bintang supaya pemain dapat maju dalam permainan.

Selain itu, aduan utama saya di dalam bentuk penerokaan ini adalah watak pemain bergerak dengan sangat perlahan dan ia menyertakan seolah satu buah yang pemain boleh dapatkan yang berada secara rawak di peta untuk bergerak dengan laju. Bentuk ini bukan sahaja berasa tidak memerlukan bahkan ia berasa seolah satu perkara bodoh yang ditambah secara tiba-tiba untuk ‘menyekat’ pemain.

Tidak Cukup Citarasa Dan Gaya Asli Siri Drawn To Life

Kesimpulannya, Drawn To Life: Two Realms ini semestinya satu sekuel yang cukup bagus terutamanya peminat siri tersebut yang ingin kembali bermain permainan tersebut dan mengetahui bagaimana keadaan Mike dan Heather selepas permainan sebelum ini tamat. Dengan penyertaan elemen asal seperti menghasilkan watak anda sendiri pada masa yang sama menyelesaikan tekaria yang agak mencabar dicampur dengan visual pixel yang sangat menawan dengan nilai estetik seakan permainan sebelum ini, ia adalah satu sekuel yang dibangunkan khas oleh peminat.

Namun, dengan apa yang disampaikan dicampur dengan kandungan yang disediakan bersama penceritaan yang sangat memakan masa pemain atas sebab peringkat permainan yang agak berulangan, ia membuatkan permainan ini berasa agak membosankan dan meleret.

Walaupun begitu, untuk pemain baharu buat siri ini, Drawn To Life: Two Realms semestinya satu permulaan yang bagus jika anda tidak mengambil kisah berkenaan penceritaannya, atas sebab ia menyertakan beberapa bentuk permainan yang lebih tersusun terutamanya fungsi untuk menghasilkan watak dengan pelbagai jenis warna dan bentuk dan peringkat permainan yang lebih bebas.

Akan tetapi, Untuk dikatakan sebagai sekuel penuh, ia mungkin sedikit kecil untuk dijadikan sebagai satu permainan utama untuk siri ini dan jika anda ingin mencari permainan platformer yang baik, saya lebih syorkan anda bermain permainan lain. Bagi anda yang berminat dengan naratif permainan ini, saya syorkan anda untuk bermain permainan sebelum ini dahulu.

Penafian: Kod Ulasan Drawn To Life: Two Realms disediakan oleh 505 Games.

Drawn To Life: Two Realms
Harga: RM42
Kembalinya Nostalgia Siri Drawn To Life Dengan Keupayaan Untuk Menghasilkan Watak Adiwira Sendiri, Platformer Mencabar Tetapi Penceritaan Yang Perlahan
Positif
Platformer Yang Sangat Mencabar
Keupayaan Untuk Menghasilkan Watak Sendiri
Negatif
Penceritaan Yang Sangat Perlahan Dan Meleret
Pergerakan Watak Sangat Lambat Ketika Pengembaraan
6

Leave a Reply

Final Score