Blizzard minggu ini telah mengumumkan yang World of Warcraft: Shadowlands yang dikeluarkan pada 24 November lepas, telah terjual sebanyak 3.7 juta unit dalam masa sehari.
Menurut mereka, pencapaian tersebut menjadikannya permainan PC terlaris, mengatasi Diablo III yang memegang rekod tersebut sebelum ini dengan jualan sebanyak 3.5 juta unit dalam tempoh yang sama.
Selain itu, Blizzard juga berkongsi pencapaian lain untuk World of Warcraft sebelum penambahan ini tiba;
- Permainan tersebut mencatat jumlah pemain yang tinggi sebulan sebelum pelancaran Shadowlands berbanding tempoh yang sama untuk pelancaran penambahan-penambahan lain sebelum ini.
- Pemain telah meluangkan masa lebih lama bermain pada tahun ini berbanding tempoh yang sama, sepanjang 10 tahun yang lepas.
- Tempoh pemain bermain pada tahun ini adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding tahun lepas.
Bagi anda yang berminat, pernambahan World Of Warcraft: Shadowlands sudah boleh didapati dengan harga bermula $39.99(~RM167) melalui laman rasmi Battle.net.