Warner Bros telah mengumumkan strategi drastik untuk penerbitan filem mereka, minggu ini mereka mengumumkan kesemua filem mereka yang tiba pada tahun 2021 akan tiba di pawagam dan juga HBO Max secara serentak, seperti filem Wonder Woman 1984.

HBO Max akan menyiarkan filem-filem tersebut untuk bulan pertama sahaja dan akan hanya ditawarkan secara eksklusif di pawagam untuk bulan-bulan berikutnya sehinggalah ia kembali ke perkhidmatan penstriman tersebut.

Menurut Warner, keputusan ini dibuat selepas ketidakpastian dengan keadaan semasa industri pawagam. Ia juga akan memberikan lebih pilihan kepada penonton sama ada ingin menonton sesuatu filem di pawagam ataupun di rumah sahaja.

Perkara ini mungkin baik untuk penonton tetapi beberapa pemilik syarikat pawagam telah menyatakan yang ia tidak baik untuk mereka. Antara penyedia pawagam terbesar di Amerika Syarikat iaitu AMC telah mengeluarkan kenyataan yang mereka bersetuju untuk filem Wonder Woman 1984 sahaja dan pengumuman oleh Warner ini adalah satu perkara yang mengejutkan.

Mereka bercadang untuk kembali berbincang dengan Warner agar keputusan mereka tersebut tidak akan membawa kerugian kepada penyedia pawagam.

Buat masa ini, HBO Max masih tidak ditawarkan di Malaysia, oleh itu kita mungkin masih perlu berharap kepada pawagam sahaja untuk menonton filem-filem terbaru.

Sohor Kini