Melalui laporan Variety, Ahmad Izham Omar iaitu bekas ketua pegawai eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, kini dilantik sebagai pengarah kandungan dan kreatif untuk servis penstriman Disney+.

Menurut laporan, pelantikan itu adalah bertempatkan di Singapura dan beliau akan terlibat dengan penghasilan dan penerbitan kandungan asli untuk platform tersebut. Beliau juga akan terlibat dengan segala kandungan hiburan lain termasuklah program-program di bawah The Walt Disney Company.

Menurut laporan Variety lagi, dengan penglibatan Ahmad Izham Omar di Disney Asia Tenggara, mereka mungkin akan mengembangkan lagi platform tersebut di pasaran itu. Amit Malhotra iaitu ketua rantau untuk The Walt Disney Company Asia Pacific juga menyatakan beliau berharap Ahmad Izham Omar akan membawa syarikat tersebut ke arah kepelbagaian penceritaan menarik di Disney buat pelanggan.

Buat masa ini, platform penstriman Disney+ semestinya masih belum tiba buat pasaran Malaysia dan Indonesia adalah negara pertama untuk terima platform tersebut buat rantau Asia Tenggara. Dengan pengumuman ini, semestinya pelancaran platform tersebut untuk pasaran Malaysia semakin kelihatan.

Meskipun begitu, buat masa ini Disney masih belum mengumumkannya secara rasmi dan kami pasti akan melaporkannya jika ia diumumkan kelak.

Sohor Kini