Melalui kenyataan rasmi Rockstar Games di blog mereka, Rockstar Games mengesahkan yang mana beberapa permainan keluaran mereka akan menyokong fungsi keserasian ke belakang untuk konsol Xbox Series dan PlayStation 5.
Antara permainan utama yang tersenarai adalah Grand Theft Auto V dan Red Dead Redemption 2 yang mana ia akan menyokong di kedua-dua konsol generasi seterusnya tersebut. Selain itu, Rockstar Games juga mengesahkan versi fizikal permainan tersebut juga boleh digunakan untuk konsol PlayStation 5 edisi biasa dan Xbox Series X. Versi Digital juga boleh diakses secara terus untuk kedua-dua versi konsol.
Selain itu, segala kemajuan dan fail penyimpanan permainan untuk Grand Theft Auto V dan Red Dead Redemption 2 termasuk bentuk multi-pemain Grand Theft Auto Online dan Red Dead Online juga boleh di bawa ke konsol generasi seterusnya sama ada melalui pemindahan fail ataupun melalui fungsi storan awan buat pelanggan PlayStation Plus dan Xbox Live Gold.
Untuk konsol Xbox Series, beberapa permainan dari Xbox 360 juga boleh dimainkan seperti:
- Bully: Scholarship Edition
- Grand Theft Auto IV
- Grand Theft Auto: Episodes From Liberty City
- Grand Theft Auto: San Andreas
- Midnight Club: Los Angeles
- Red Dad Redemption
- Rockstar Game Presents Table Tennis
Rockstar Games juga mengumumkan beberapa judul permainan PlayStation 2 yang boleh dimainkan di konsol PlayStation 4 sebelum ini juga turut boleh dimainkan di konsol PlayStation 5. Namun memandangkan permainan tersebut hanya buat akaun Amerika Syarikat, ia hanyalah untuk pemilik akaun rantau tersebut.
Selain itu, seperti yang dijanjikan oleh Rockstar Games sebelum ini, semua pelanggan PlayStation Plus akan menerima GTA$1,000,000 setiap bulan jika pemain bermain GTA Online sehingga pelancaran GTA Online untuk konsol PlayStation 5 menjelang 2021 ini.