Penundaan permainan video yang dinanti-nantikan bukanlah sesuatu yang baru. Sebelum ini, terdapat beberapa tajuk permainan popular seperti Final Fantasy XV, Kingdom Hearts 3, mahupun The Last of Us 2 yang terpaksa ditunda untuk meningkatkan mutu permainan tersebut apabila ia dilancarkan.

Cyberpunk 2077, permainan terbaru keluaran CD Projekt Red yang telahpun ditunda sebelum ini nampaknya telah ditunda sekali lagi. Kini, ia hanya akan hadir pada 10 Disember 2020 kelak, 21 hari selepas ia sepatutnya dilancarkan pada 19 November 2020.

Menurut Adam Badowski, ketua studio CD Projekt Red, walaupun Cyberpunk telah melepasi pengesahan emas, dan boleh mula dijual tidak lama lagi, mereka sedang menguji permainan tersebut di sembilan platform berbeza, termasuklah konsol-konsol Sony dan Microsoft, PC dan juga platform penstriman seperti Stadia.

Apa yang melambatkan ujian-ujian ini ialah ia terpaksa dilakukan oleh pembangun-pembangun tersebut dari rumah kerana wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia.

CD Projekt Red juga tegas dalam mengatakan bahawa mereka mahukan Cyberpunk 2077 dimainkan di semua platform pada hari pelancaran yang sama, dan oleh kerana itu, keputusan sukar ini terpaksa dibuat.

Sohor Kini