Permainan No Straight Roads yang dilancarkan Ogos lepas oleh Metronomik dan Sold Out semestinya satu permainan yang menjadi perhatian ramai atas sebab ia dibangunkan oleh pembangun tempatan.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, permainan tersebut menerima keuntungan dalam tempoh masa sehari sahaja ia dilancarkan, sekaligus meletakkan ia adalah satu kejayaan besar buat Metronomik.
Meskipun begitu, ketika acara Level UP KL yang berlangsung minggu ini, Wan Hazmer iaitu pengasas studio Metronomik berkongsi beberapa sebab kejayaan mereka dan termasuklah sokongan peminat yang sangat memberangsangkan.
Salah satu perkara yang diketengahkan oleh Wan Hazmer ketika sesi persidangan khas semalam merupakan hasil sokongan peminat dengan pelbagai karya-karya seni yang dikongsikan di Internet hampir setiap hari. Menurut beliau, mereka menerima 84 karya seni peminat dalam tempoh masa 12 jam sahaja di Twitter sebelum rakaman persidangan tersebut.
Beliau juga berkongsi yang mana para pelakon suara latar juga sering berkongsi berkenaan permainan No Straight Roads termasuklah para pelakon suara tempatan dan luar negara, yang mana sekaligus meningkatkan lagi populariti permainan tersebut.
Wan Hazmer juga berkongsi yang mana peminat-peminat permainan tersebut juga telah menghasilkan pelbagai karya lain selain karya seni seperti karya fiksyen, majalah digital dan juga permainan mini berdasarkan watak DJ Subtomic Supernova. Sesi persidangan tersebut juga diteruskan dengan bagaimana mereka sering ke acara-acara permainan global seperti Tokyo Game Show, Taipei Game Show dan Paris Games Week, yang mana mereka menerima pelbagai komen dari peminat dan juga kritikan daripada ketua pembangun permainan Indie dari Sony Interactive Entertainment, iaitu Shuhei Yoshida.
Ketika sesi pertanyaan, Wan Hazmer juga menyatakan yang mana mereka sememangnya mendapat banyak permintaan daripada peminat untuk melancarkan barangan khas bertemakan permainan tersebut dan untuk menjawabnya, mereka semestinya berminat untuk melancarkannya dan mereka akan mengumumkannya kelak.
Dari segi projek akan datang, Wan Hazmer menyatakan yang mana buat masa ini mereka ingin fokus untuk membaiki sebarang pepijat untuk permainan No Straight Roads untuk semua platform. Sebarang pengumuman untuk permainan akan datang, mereka akan mengumumkannya kemudian.
Ketika penghujung sesi tersebut, Wan Hazmer juga mengumumkan yang mana beliau kini menghasilkan saluran rasmi Twich yang mana beliau akan berkongsi beberapa sesi penstriman permainan pada masa akan datang. Bagi anda yang berminat, anda boleh mengikuti beliau melalui saluran Twitch One Haz Games.
No Straight Roads telah pun dilancarkan di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC melalui Epic Games Store di mana kami sebelum ini telah pun mengulaskannya dan memberinya markah yang baik atas sebab arah seni permainannya yang sangat menarik. Bagi anda yang berminat dengan permainan ini, anda boleh menonton dahulu ulasan kami di sini.