Nintendo Switch boleh dikatakan konsol permainan video yang paling popular untuk generasinya. Walaupun begitu, kualiti konsol tersebut agak mencurigakan, khususnya pengawal permainan Joy-Con yang masih mempunyai isu Joy-Con drift.

Terkini, ia telah dilaporkan bahawa seorang kanak-kanak dan ibunya telah menyaman Nintendo America kerana masalah berlanjutan berkaitan dengan Joy-Con tersebut.

Menurut laporan Wired, Luz Sanchez membelikan anaknya sebuah konsol Nintendo Switch dua tahun yang lalu. Sekitar tujuh ke lapan bulan selepas itu, anaknya, M.S. merungut bahawa pengawal Joy-Con tersebut menghadapi isu drift.

Apabila isu tersebut semakin teruk, Luz Sanchez membelikannya sepasang lagi Joy-Con, dan beberapa bulan selepas itu, pengawal terbaru itu juga menghadapi masalah yang sama.

Kedua-dua ibu dan anak tersebut telah menyaman Nintendo America untuk $5,000,000 dalam bentuk pampasan akibat daripada isu ini.

Menurut peguam mereka, walaupun Nintendo telah mula menerima pengawal-pengawal ini untuk diperbaiki secara percuma, ia tidak mencukupi kerana mereka sedar bahawa produk-produk yang dijual tidak berkualiti dan terlalu mudah rosak.

Sohor Kini