Blizzard hari ini telah tiba dengan blog kemaskini suku terbaru mereka untuk permainan video Diablo IV. Kali ini, Blizzard memperlihatkan dua aspek besar pada permainan tersebut, termasuklah carta kebolehan aktif dan pasif untuk watak-watak, dan juga sistem Enchantment untuk watak kelas Sorceress.
Blizzard telah menjanjikan pengalaman permainan yang menggerunkan dan ini diperlihatkan oleh mereka melalui rekaan carta kebolehan (skill tree) terbaru yang adalah seperti sebatang pokok yang besar, termasuklah dengan akar-akarnya sekali.

Diablo IV masih lagi akan mengekalkan penggunaan kebolehan aktif dan juga pasif. Daripada carta kebolehan ini, ia dapat dilihat bahawa dahan-dahan pokok ini merupakan kebolehan aktif, manakala akar-akarnya pua ialah kebolehan pasif seseorang watak tersebut.

Pada blog kali ini, watak Sorceress pula diberi perhatian, dan Blizzard telah memperlihatkan sistem Enchantment yang khusus untuk kelas tersebut. Ini adalah lebih kurang sama seperti sistem Arsenal untuk watak Barbarian yang diperlihatkan sebelum ini.

Melalui sistem Enchantment ini, kelas Sorceress boleh menggunakan kebolehan aktif dengan dua cara. Pertama ialah menggunakan kebolehan tersebut seperti sedia ada, ataupun memasukkannya kedalam slot Enchantment, dimana ia boleh digunakan sebagai kuasa pasif tambahan.
Sistem ini memberi pengguna lebih banyak ruang untuk membina watak mereka sendiri, tetapi juga memaksa mereka untuk membuat keputusan tentang kebolehan apakah yang akan mereka korbankan kerana satu kebolehan tidak boleh dimasukkan didalam kedua-dua slot sekaligus.

Blizzard juga akan merombak sistem kelas senjata dan perisai untuk mengurangkan kebergantungan terhadapnya apabila tiba masa untuk kandungan penghujung permainan.
Mereka akan mengemaskini blog mereka dengan kandungan baru mengenai topik ini dan lain-lain pada suku akan datang. Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah Diablo IV akan dilancarkan.




