Pokemon GO ialah salah sebuah permua realiti terimbuh yang masih lagi sangat popular dimainkan oleh berjuta orang pemain di seluruh dunia.
Niantic, pembangun permua tersebut hari ini mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan sebuah kemaskini baru untuk Pokemon GO pada bulan Oktober kelak, dan dengan itu, mereka berhasrat untuk mematikan sokongan untuk beberapa versi sistem operasi dan juga peranti.
Menurut akaun Twitter Pokemon GO, apabila kemaskini tersebut tiba pada bulan Oktober kelak, Pokemon GO tidak boleh dimainkan oleh peranti-peranti yang menggunakan sistem operasi Android 5.0 ataupun Lollipop dan kebawah, dan juga sistem operasi iOS 10 dan 11.
Dalam pada itu, dua peranti daripada Apple, iaitu iPhone 5s dan iPhone 6 juga dihentikan sokongannya daripada memainkan permainan ini. Menurut Niantic, ini adalah kerana walaupun kedua-dua iPhone ini menggunakan sistem operasi iOS 12 keatas, memori 1GB didalam peranti-peranti ini tidak mencukupi untuk kemaskini terbaru itu.
Jika anda menggunakan peranti-peranti ini untuk memainkan Pokemon GO, mungkin sudah tiba masanya anda menaiktarafkan peranti-peranti anda kepada sesuatu yang lebih baru untuk memastikan anda tidak terlepas kandungan-kandungan baru yang ditawarkan permainan ini.