Steam Memperkenalkan Penapisan Teks Untuk Fungsi Sembang

Steam dikenali ramai sebagai platform pembelian permainan komputer digital, tetapi ia juga merumahkan pelbagai ciri-ciri lain, dan diantaranya ialah fungsi chat ataupun sembang.

Valve baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah ciri baru melalui Steam Labs yang membolehkan pengguna untuk menapis perkataan-perkataan yang mereka tidak ingin lihat pada bahagian chat tersebut.

Menurut Valve, ciri penapisan teks ini dibina menggunakan sistem penapisan teks yang sudahpun tiba melalui permainan-permainan multi-pemain keluaran mereka seperti Counter-Strike Global Offensive dan DoTA 2.

Secara teknikalnya, ciri penapisan teks Steam sedia ada sudahpun boleh menuras kata-kata kasar yang sering digunakan, tetapi dengan penambahan baru ini, pengguna boleh menambah perkataan-perkataan tambahan yang terlepas pandang oleh pihak Valve.

Ciri penapisan ini boleh digunakan pada perisian Steam, laman web Steam dan juga aplikasi mudah-alih kerana ciri ini disambungkan terus ke akaun pengguna.

Anda boleh memuat-turun ciri tersebut melalui laman web Steam Labs.

Sohor Kini