Konsol permainan generasi akan datang Sony PlayStation 5 akan dilancarkan secara global dalam masa beberapa bulan sahaja lagi, dan terkini, Sony nampaknya telah mula menggerakkan enjin jentera pemasaran mereka.

Sony baru sahaja membuka laman web pendaftaran minat untuk pra-tempahan konsol tersebut, dan melalui laman web tersebut, ia diperlihatkan bahawa pengguna akan perlu memasukkan PlayStation ID mereka.

Sony kemudian akan melihat aktiviti akaun PlayStation anda, dan jika dipilih, pengguna yang bertuah tersebut boleh menjadi diantara yang pertama di dunia untuk diberi peluang menempah sebuah konsol Sony PlayStation 5.

Ini cukup menarik kerana sebelum ini terdapat laporan bahawa siri konsol terbaru ini tidak akan begitu meluas jualannya kerana jumlah stok yang terhad. Ini mungkin satu cara untuk Sony memastikan bahawa pengguna Sony yang benar-benar peminat konsol tersebut berpeluang untuk memilikinya apabila ia dikeluarkan kelak.

Menurut bahagian FAQ, anda boleh memasukkan PSN ID anda tidak mengira rantau, tetapi alamat penghantaran anda haruslah berada didalam Amerika Syarikat untuk menempah konsol tersebut. Sony juga telah menetapkan had untuk jumlah konsol dan aksesori yang boleh ditempah.

Anda juga diminta untuk mengesahkan tempahan secepat mungkin selepas menerima emel tawaran daripada Sony, kerana jumlah konsol yang ditawarkan adalah sangat terhad.

Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh layari laman web tawaran Sony di sini.

Sohor Kini