Permainan simulasi kapal terbang Microsoft Flight Simulator kini sudahpun tiba di pasaran dan nampaknya diterima dengan agak positif walaupun ia mempunyai beberapa isu tersendiri.
Apa yang menarik mengenai simulasi ini ialah walaupun lakaran geografinya dikatakan agak tepat, terdapat kes dimana rekaan bangunan berbeza dengan apa yang ada di alam nyata.
Terbaru ialah penemuan sebuah bangunan tirus bersaiz 212 tingkat di Melbourne, Australia yang jauh lebih tinggi daripada mana-mana bangunan lain di lokasi tersebut.
Menurut beberapa pengguna, ralat ini berlaku kerana Asobo Studio, pembangun dibelakang Microsoft Flight Simulator menggunakan peta sumber terbuka OpenStreetMap untuk membangunkan bangunan-bangunan didalam perisian simulasi tersebut.
Terdapat sebuah bangunan didalam peta itu yang tersalah butirannya, dimana ia ditulis sebagai mempunyai 212 tingkat, walhal jumlah sebenar hanyalah dua.
Kesalahan tersebut telahpun diperbaiki, tetapi tidak sebelum Asobo Studio menggunakan data peta tersebut untuk membangunkan persekitaran Microsoft Flight Simulator.
Buat masa ini ia masih tidak diketahui jika Asobo Studio akan memperbaiki isu bangunan tinggi ini ataupun tidak pada kemaskini akan datang.