Suikoden iaitu salah satu siri klasik JRPG oleh Konami yang dihasilkan oleh Yoshitaka Murayama semestinya merupakan satu permainan kesukaan ramai apabila ia mula diperkenalkan beberapa tahun lepas di konsol PlayStation 1 dengan penyertaan 108 watak permainan yang boleh direkrut dengan penceritaan bertemakan persahabatan.

Permainan tersebut kemudiannya dilancarkan dengan pelbagai siri dan kali terakhir permainan utama Suikoden dilancarkan adalah pada 2006 lepas di konsol PlayStation 2 iaitu Suikoden V.

Terkini, Yoshitaka Murayama bersama Junko Kawano, Osamu Komuta dan Junichi Murakami iaitu bekas pembangun daripada siri Suikoden, mengumumkan yang mana mereka akan menghasilkan satu permainan baharu iaitu Eiyuden Chronicle: Hundred Heroes di bawah studio baharu Rabbit & Bear Studios.

Penceritaan permainan ini akan memfokuskan negara Allraan di maan Nowa iaitu seorang kanak-kanak dari kampung kecil bertemu dengan Seign Kesling, seorang pegawai empayar menjadi rakan. Namun atas sebab peperangan, mereka perlu bertembung sesama sendiri dan memilih laluan sama ada baik atau buruk untuk menyelesaikan konflik antara mereka.

Menurut pembangun, permainan ini akan menyertakan 100 watak yang pemain rekrut seakan siri Suikoden dan ia akan mengekalkan pelbagai elemen klasik JRPG termasuklah sistem persatuan dengan bentuk pertempuran secara turutan sehingga 6 watak sepasukan.

Selain itu, IGN Japan juga turut berkongsi video acah permainan tersebut yang mana ia memperlihatkan bentuk pertempuran dan visual permainannya yang mempunyai visual klasik JRPG dengan rekaan 2.5 dimensi.

Menurut Rabbit & Bear Studios, mereka akan melancarkan kempen biayasama buat pemrainan ini melalui Kickstarter bermula minggu hadapan dan mereka menyasarkan untuk mengumpul sebanyak $500,000(~RM2.13 Juta) untuk membangun dan melancarkannya di PC dan juga konsol Switch, PlayStation 5 dan Xbox Series X.

Dari segi tarikh pelancarannya pula, mereka menyasarkan ia akan dilancarkan sekitar suku keempat tahun 2022.

Leave a Reply