5 Panduan Penting Ketika Bermain Ghost Of Tsushima

Memandangkan permainan seterusnya oleh Sucker Punch Production iaitu Ghost Of Tsushima dilancarkan hari ini, di sini saya akan berkongsi beberapa panduan untuk bermain permainan dunia terbuka tersebut di mana saya percaya ia akan membantu anda sedikit sebanyak untuk menerokai dunia permainan tersebut di samping menghadapi pelbagai jenis musuh yang akan anda tempuhi.

1. Ambil Masa Dan Terokai Keseluruhan Kepulauan Tsushima

Seperti yang kami kongsikan di dalam ulasan kami sebelum ini, Ghost Of Tsushima sememangnya satu permainan dunia terbuka yang sangat meluas di mana ia memfokuskan keseluruhan pulau Tsushima dan walaupun ia berskala lebih kecil, ia masih lagi satu lokasi yang sangat besar.

Oleh sebab itu, antara panduan pertama yang saya sering ulang di dalam ulasan saya adalah ambil masa anda. Permainan ini mempunyai pelbagai lokasi dan tempat menarik yang untuk anda terokai di mana penceritaan boleh dikatakan tidaklah begitu panjang. Atas sebab tersebut, saya sendiri lebih syorkan anda untuk mengambil masa untuk menghabiskan permainan ini seperti melakukan beberapa perkara yang saya syorkan di bawah.

Cari Pelbagai Haiwan Untuk Pandu Anda Ke Lokasi Menarik

Perkara pertama yang saya syorkan adalah untuk mengikut haiwan-haiwan yang terdapat di dalam permainan ini seperti burung ataupun musang yang mana mereka akan membawa anda ke lokasi menarik seperti kuil, yang mana bukan sahaja akan meningkatkan jumlah “Charm” yang anda boleh guna, malah anda juga berupaya membelai musang tersebut untuk melihat gelagat comelnya.

Manakala burung-burung pula akan membawa anda ke lokasi menarik lain seperti kolam air panas yang akan tingkatkan jumlah nyawa anda juga tempat untuk melatih dan memotong buluh untuk tingkatkan jumlah Resolve anda.

Sentiasa Bantu Rakyat Yang Perlu Bantuan Di Tepi Jalan, Untuk Dapat Pelbagai Tips

Memandangkan permainan bertempatkan ketika penaklukan Mongolia di Jepun, sepanjang pengembaraan Jin Sakai, anda akan temui pelbagai rakyat yang ditindas oleh tentera Mongolia di tepi jalanan ataupun perumahan yang mana kami sangat mengesyorkan anda untuk membantu mereka.

Ini bukan sahaja membuka peluang untuk anda menerima pelbagai ganjaran ataupun sumber tambahan, malah anda juga berpeluang untuk mendapat beberapa tips oleh rakyat tersebut seperti lokasi-lokasi menarik yang berhampiran dan juga sebarang misi tambahan yang mana juga akan memberi ganjaran yang lebih tinggi buat anda.

2. Lakukan Misi Sampingan Untuk Pelbagai Ganjaran, Termasuk Sumber

Memandangkan permainan ini mempunyai lokasi dan meluas untuk terokai, ia juga mempunyai pelbagai misi sampingan yang pemain boleh lakukan. Antara misi sampingan yang tersedia adalah beberapa misi daripada watak-watak peneman Jin Sakai yang mana sebahagian daripada misinya akan menyertakan ganjaran yang menarik untuk pemain.

Selain itu, terdapat juga misi sampingan “Mythic Tales” di mana melaluinya anda akan mempelajari kemahiran baharu yang sangat berkuasa dan sangat berguna untuk pengembaraan pemain. Untuk memudahkan lagi pengembaraan anda, setiap kali anda memilih misi yang tersedia, permainan ini juga menyenarai ganjaran-ganjaran yang pemain akan terima setelah pemain lakukan misi tersebut. Oleh sebab itu, fungsi ini pasti akan memudahkan lagi pemain untuk memilih misi sampingan yang pemain rasa berbaloi untuk dibuat.

Sentiasa Ke Lokasi “Gift Altar” Untuk Dapatkan Ganjaran

Setelah pemain maju di dalam penceritaan permainan ini, selain daripada ganjaran yang saya nyatakan di atas melalui misi sampingan, setiap kali pemain tingkatkan peringkat pemain, pemain juga akan menerima pelbagai lagi ganjaran tambahan di mana ia boleh diambil di lokasi “Gift Altar” yang terdapat di beberapa perkampungan di dalam permainan ini.

Ganjaran-ganjaran yang akan pemain peroleh daripada lokasi ini akan berbeza mengikut misi dan misi sampingan yang pemain lakukan, seperti contoh pemain akan dapat topeng ataupun topi baharu untuk ganjaran kosmetik. Namun terdapat juga ganjaran seperti sumber-sumber penting seperti “Supplies” yang mana merupakan mata wang utama untuk pemain di dalam permainan ini.

Sumber Boleh Dibeli Di “Trapper” Jika Tidak Mencukupi, Juga Boleh Dijual Untuk Jumlah “Supplies” Tambahan

Salah satu kesilapan saya sendiri ketika bermain Ghost Of Tsushima beberapa minggu lepas sebelum mengulasnya adalah berkenaan sumber-sumber barangan yang pemain akan guna untuk menaik-taraf senjata dan kelengkapan.

Sumber-sumber seperti kayu, emas, besi dan sebagainya selalu akan pemain jumpai sepanjang pengembaraan pemain di dalam permainan ini. Namun begitu, pemain juga boleh membelinya di beberapa lokasi penjual “Trapper” di mana mereka juga merupakan penjual yang berupaya untuk tingkatkan jumlah barangan senjata sampingan yang pemain boleh bawa.

Menariknya, pemain juga boleh menjual sumber-sumber lebihan lain seperti kayu buluh dan sebagainya, untuk mendapat “Supplies” dengan lebih banyak dan mudah supaya pemain akan lebih cepat untuk menaik-taraf pakaian ataupun senjata.

3. Ketika Bertempur, Sentiasa Sabar Dan Teguh Seakan Samurai Sebenar

Salah satu bentuk permainan Ghost Of Tsushima yang saya sukai adalah bentuk bertempurnya yang mana ia sangat seronok untuk dimainkan dan pada masa yang sama agak mencabar terutamanya buat mereka yang tidak begitu cekap.

Seperti di ulasan saya, bentuk pertempuran permainan ini tidaklah begitu menghukum pemain seperti siri permainan Soulsborne, namun jika pemain melakukan kesilapan, ia pasti akan memberi padah buat pemain dan anda sendiri pasti akan tewas di tangan musuh. Oleh sebab itu, panduan seterusnya oleh saya adalah berkenaan bentuk pertempuran yang saya pasti akan membantu anda untuk keseluruhan pengembaraan anda sebagai samurai dan Ghost Jin Sakai di pulau Tsushima ini.

Sabar dan Serang Balas Serangan Musuh

Sebagai seorang samurai, Jin Sakai semestinya mempunyai serangan pedang katana yang sangat pantas dan berkuasa, namun jika diserang dengan secara membabi buta, ia pasti akan memberi padah buat beliau. Oleh sebab itu, anda yang bermain sebagai seorang samurai, perlu juga sabar dalam setiap gerak-geri ketika bertempur.

Antara fungsi terbesar di dalam permainan ini yang mana juga akan diajar pada awal permainan adalah keupayaan untuk memesong serangan musuh dan menyerang balas kembali. Fungsi ini adalah sangat berguna untuk membuat musuh penat ataupun kaku yang mana akan membuka peluang untuk pemain menyerang dengan lebih kuat. Menariknya juga, dengan memesong serangan musuh, pemain juga akan diberi ganjaran Resolves (Perlu belajar terlebih dahulu di skrin kemahiran watak) yang mana juga akan bantu pemain tingkatkan nyawa pemain dan melakukan serangan berkemahiran.

Panduan yang paling senang saya boleh nasihatkan untuk memesong serangan tersebut (Dengan menekan butang L1) anda perlu sabar dan apabila serangan musuh berwarna “Biru” kelihatan dan mula hampir terhadap anda, anda terus menekan butang L1. Ia mungkin memerlukan masa untuk anda berlatih untuk berjaya melakukannya, namun setelah anda sudah biasa, permainan ini pasti akan menjadi sangat mudah buat anda.

Sentiasa Tukar Gaya Pertempuran Pedang Mengikut Jenis Musuh

Setelah anda maju di dalam permainan ini, anda akan mempelajari beberapa gaya tempur pedang berbeza yang mana ia boleh diubah setiap kali menekan butang R2 bersama dengan butang petak, segi tiga, bulat ataupun pangkah.

Terdapat empat gaya tempur pedang yang pemain boleh pelajari iaitu gaya tempur Batu, Air, Angin dan Bulan dan setiap satunya mempunyai kelebihan sendiri mengikut jenis musuh. Contohnya adalah gaya tempur angin yang akan membantu pemain tumpaskan musuh bersenjata lembing dengan lebih mudah. Ini kerana fungsi tersebut akan mempercepatkan musuh untuk letih dan kaku, sekaligus memudahkan pemain untuk menumpaskan mereka.

Contoh seterusnya adalah gaya tempur pedang air, yang mana jika pemain menekan butang segi tiga dengan lama, kemudian melepaskannya dan terus menyerang musuh yang mempunyai perisai, ia juga akan lebih mudah untuk menumpaskan musuh atas sebab serangan bertubi-tubi yang dilakukan melalui gaya tempur tersebut.

Bentuk ini juga akan membantu pemain ketika bertempur dengan musuh yang ramai dan memerlukan pemain untuk tumpaskan musuh dengan pantas dan saya pasti jika pemain menguasai bentuk ini, segala aspek pertempuran permainan ini akan menjadi lebih mudah.

Sentiasa Dengar Panggilan Pemanah Dan Elak

Selain daripada musuh bersenjata berlainan yang saya nyatakan di atas, permainan ini juga menyertakan beberapa musuh yang menggunakan senjata jarak jauh seperti panah yang mana dari semasa ke semasa akan menjengkelkan. Walaupun ia tidaklah mempunyai serangan yang sekuat dengan musuh bersenjata jarak dekat, ia masih lagi akan memberi kesan terhadap saat getir jika pemain bertempur dengan musuh yang ramai.

Namun untuk memudahkan permainan ini, sebelum pemanah tersebut akan menyasar dan menembak ke arah pemain, mereka akan “Menjerit” dahulu untuk memberi amaran terhadap rakan-rakan mereka yang lain. Atas sebab ini, pemain juga boleh mengambil kesempatan ini untuk mengetahui bila pemanah tersebut akan memanah ke arah pemain.

Jadi, setiap kali anda mendengar pemanah “Menjerit” sesuatu ayat dalam bahasa Mongolia, satu atau dua saat lepas itu cepat-cepat anda tekan butang bulat ataupun butang elak untuk terus mengelaknya. Terdapat juga saat mereka akan terus menembak dengan banyak kali selepas satu jeritan itu, oleh sebab itu saya syorkan anda untuk mengelak beberapa kali dan terus membunuh pemanah pada awal pertempuran.

Pilih Gaya Pertempuran, Pakaian dan Kelengkapan Yang Anda Ingin Fokus

Memandangkan permainan ini mempunyai beberapa elemen “RPG”, ia juga mempunyai pelbagai kemahiran gaya tempur, kelengkapan dan pakaian perisai yang anda boleh pakai dan menaik-tarafnya. Pada permulaan permainan ini, saya sendiri juga berasa agak keterlaluan atas sebab terdapat pelbagai terlalu banyak pilihan untuk saya guna.

Oleh sebab itu, untuk memudahkan anda, saya syorkan anda untuk memilih satu sahaja dahulu untuk pakaian untuk menaik taraf, dan saya syorkan pakaian Samurai Clan Armor di atas di mana anda akan dapat selepas melakukan misi bersama Lady Masako.

Ini kerana, pakaian tersebut mempunyai satu statistik yang agak bagus ketika bertempur atas sebab ia mengurangkan jumlah kecederaan buat pemain yang sangat tinggi. Ditambah pula apabila ia dinaik-tarafkan, jumlah kecederaan tersebut akan terus berkurang.

Walaupun begitu, ini hanyalah cadangan saya sahaja dan jika anda ingin memilih pakaian lain, anda boleh berbuat demikian. Namun bentuk yang saya syorkan ini adalah atas sebab pada permulaan permainan, pemain mungkin akan mempunyai sumber yang agak terhad, sekaligus pemain perlu bijak memilih sumber mana yang akan ditekan dahulu untuk pernaik-tarafan.

Setelah pemain tamat bermain penceritaan utama ataupun sudah membuka lokasi peta yang lebih meluas, saya pasti sumber-sumber pemain tidak lagi akan terhad dan pemain boleh terus memilih mana-mana kelengkapan untuk dinaik-tarafkan tanpa perlu merisaukan sebarang sumber yang tidak mencukupi.

Sentiasa Tinggalkan “Resolves” Dengan Jumlah Kecil Ketika Bertempur

“Resolves” adalah satu perkara yang sangat penting di dalam permainan ini di mana ia adalah seakan “MP” di dalam permainan RPG lain. Ini kerana, pemain berupaya menyembuhkan nilai nyawa pemain dengan menggunakan Resolves dan juga melakukan sebarang kemahiran-kemahiran lain.

Atas sebab itu, ketika anda bertempur pastikan anda meninggalkan sekurang-kurangnya dua jumlah “Resolves” di mana ia boleh menjadi satu “insurans” buat pemain seperti sembuhkan nyawa pemain ketika saat getir. Menariknya, pemain juga boleh mempelajari kemahiran untuk kembali hidup jika pemain tewas dengan musuh, yang mana juga menggunakan dua jumlah “Resolves”.

4. Pelajari Kemahiran Bom Asap Dan Pembunuhan Hendap Berganda

Salah satu eksploitasi besar yang anda boleh lakukan dengan permainan ini adalah bom asap yang anda boleh pelajari sebagai salah satu kemahiran Ghost.

Melalui bom asap ini, pemain bukan sahaja akan menyebabkan musuh-musuh di dalam permainan terus tidak berupaya untuk menyerang pemain, malah pemain kemudiannya berupaya untuk melakukan serangan hendap yang mana ia akan terus membunuh musuh dengan satu tusukan sahaja.

Untuk memudahkan lagi, saya syorkan anda untuk mempelajari serangan hendap berganda (Chain Assassination yang mana ia memberi peluang untuk anda membunuh musuh berdekatan secara terus (maksima sebanyak 3 musuh serentak). Bentuk ini bukan sahaja akan membantu anda ketika dikelilingi musuh yang ramai, malah jika pemain berjaya lakukan serangan hendap tersebut, jika pemain memasang “Charm” atau mempelajari kemahiran yang berkaitan, musuh-musuh lain juga akan takut dengan pemain dan terus larikan diri, sekaligus memudahkan lagi untuk pemain menumpaskan sekumpulan musuh.

Pelajari Bom Asap Untuk Sembuhkan Nilai Nyawa, Boleh Guna Untuk Larikan Diri

Satu lagi kemahiran yang sangat berbaloi untuk dipelajari ketika awal permainan adalah keupayaan untuk menyembuhkan diri dengan menggunakan bom asap tersebut. Kemahiran ini amat berguna jika pemain tidak mempunyai “Resolves” yang mencukupi seperti saya nyatakan di atas dan juga ingin larikan diri daripada musuh yang ramai.

5. Ambil Segala Kesempatan Kecerdasan Buatan Musuh Yang Lemah Untuk Selinap

Saya perlu akui yang mana bentuk selinap dan kecerdasan buatan di dalam permainan ini bukanlah sempurna dan agak cacat jika ingin dibandingkan dengan permainan-permainan lain. Oleh sebab itu, saya syorkan anda sendiri untuk mengambil segala kesempatan ini untuk tumpaskan musuh terutamanya ketika misi yang memerlukan pemain untuk selinap di perkampungan kecil.

Antara contohnya adalah permainan ini mengambil masa yang agak lama untuk sesuatu musuh mula nampak anda jika pemain selinap. Oleh sebab itu, saya sendiri syorkan anda untuk terus membongkok dan menekan pad sesentuh untuk mengaktifkan fungsi “Focused Hearing” di mana ia akan memaparkan musuh dengan warna merah, sekaligus lagi memudahkan lagi untuk anda menewaskan musuh-musuh yang agak buta tersebut.

Anda juga tidak perlu risau jika anda sembunyi di dalam rumput panjang di mana musuh-musuh di dalam permainan ini seakan terus tidak nampak anda setelah anda membongkok di rumput tersebut. Sekaligus jika anda risau daripada untuk dijumpai oleh musuh, pastikan anda terus ke rumput panjang.

Saya juga syorkan anda untuk mempelajari kemahiran “Stealh Hearing” untuk memudahkan anda bergerak ketika dalam bentuk “Focused Hearing” tersebut.

Semestinya kecerdasan buatan musuh di dalam permainan ini boleh dikemaskinikan jika Sucker Punch Production ingin lakukannya kelak, namun untuk sementara ini di versi 1.04, ia masih lagi mudah untuk dieksploitasikan.


Untuk ulasan penuh Ghost Of Tsushima, anda boleh ke pautan di bawah dan bagi anda yang berminat untuk mendapatkan permainan ini, ia kini telah pun dilancarkan secara rasmi di konsol PlayStation 4 di mana ia boleh dibeli dengan harga bermula RM249.

Ulasan Ghost Of Tsushima – Kembali Ke Zaman Feudal Jepun Dengan Permainan Dunia Terbuka Yang Menawan

Sohor Kini