Informasi Permainan Video Terkini
Ghost Of Tsushima – Jawapan Sony Untuk Permainan Dunia Terbuka Bertempatkan Di Era Feudal Jepun

Ghost Of Tsushima – Jawapan Sony Untuk Permainan Dunia Terbuka Bertempatkan Di Era Feudal Jepun

Diterbitkan pada Mei 15, 2020 oleh .

Seperti yang dijanjikan oleh Sony awal minggu ini, hari ini mereka akhirnya mempertontonkan acara State Of Play khas yang memfokuskan permainan Ghost Of Tsushima di mana melalui acara tersebut, mereka memperlihat pelbagai bentuk kandungan permainan yang bakal tiba.

Bagi anda yang ingin menontonnya, anda boleh menonton di bawah di mana video tersebut berdurasikan sekitar 18 minit dengan memfokuskan beberapa aspek bentuk permainan seperti pengembaraan, pertempuran dan juga pengubah-suaian watak Jin.

Perkara pertama yang dikongsikan di dalam video tersebut adalah aspek pengembaraan yang mana permainan ini masih lagi akan menyertakan peta untuk pemain terokai kawasan-kawasan Jepun tersebut. Namun apa yang menariknya, pemain kelihatan berupaya untuk menggunakan “Angin Pentunjuk” untuk mencari petua untuk ke lokasi-lokasi yang menarik di dalam permainan ini.

Selain itu, pemain juga boleh melihat asap dari jauh untuk mencari watak NPC yang akan memberi pemain seperti misi sampingan dan terdapat juga beberapa kuil yang pemain gunakan sebagai akses untuk perjalanan pantas.

Dari segi aspek pertempuran, permainan ini akan menyertakan dua bentuk utama iaitu bentuk “Samurai” dan bentuk “Ghost” yang mana bentuk samurai lebih memfokuskan pemain untuk bertempur secara terus dengan menggunakan pedang Katana. Selain itu, pemain juga akan mempunyai gaya pegang pedang Katana, yang mana ia akan mengubah beberapa aspek serangan pemain.

Manakala bagi bentuk Ghost pula, ianya sedikit sebanyak adalah bentuk selinap ataupun bentuk pertempuran Ninja di mana pemain boleh membunuh musuh secara senyap dan juga menggunakan pelbagai jenis gajet seperti bom asap, mercun untuk mengalih perhatian musuh dan sebagainya.

Pemain juga kelihatan berupaya untuk memanjat beberapa bahagian bangunan yang mana sedikit sebanyak mengingatkan kami akan permainan Assassin’s Creed dan sekaligus kami boleh mengatakan permainan ini mungkin adalah jawapan Sony untuk permainan dunia terbuka yang meletakkan di era Feudal Jepun.

Selain daripada pengubah-suaian watak dan warna baju perisai buat watak Jin, permainan ini juga menyertakan pelbagai tetapan untuk mod foto yang mana pemain boleh gunakan untuk menangkap pelbagai imej-imej menarik di dalam permainan ini. Pemain juga boleh mengubah keseluruhan permainan dengan berwarna hitam putih untuk memperagakan bentuk permainan seakan filem klasik Samurai.

Seperti yang disahkan sebelum ini, permainan ini juga akan mempunyai sokongan bahasa Jepun buat mereka yang ingin mengekalkan keaslian era Jepun di dalam dunia Ghost Of Tsushima ini.

Semestinya berdasarkan apa yang diperlihat hari ini buat permainan Ghost Of Tsushima ini, sekali lagi saya sendiri ingin mengatakan yang mana permainan ini mengingatkan saya akan permainan Assassin’s Creed dari segi penerokaan dan pengembaraannya yang mana pasti akan menarik minat mereka yang menanti untuk siri tersebut bertempatkan di era Feudal Jepun.

Dengan penyertaan dua bentuk pertempuran yang berbeza bersama lokasi yang sangat luas untuk diterokai, saya boleh katakan permainan ini pasti akan menjadi salah satu permainan yang terbaik untuk tahun ini.

Ghost Of Tsushima adalah permainan seterusnya oleh Sucker Punch yang mana mereka terkenal dengan siri Infamous. Permainan ini dijadualkan untuk dilancarkan pada 17 Julai 2020 ini khas di konsol PlayStation 4 dan bagi anda yang ingin melihat senarai edisi permainan yang boleh dipra-tempah, anda boleh ke artikel di bawah.


TIPS & ULASAN