Bulan April lepas, kami telah melaporkan yang platform penstriman video Disney+ telah mempunyai pelanggan berbayar sebanyak 50 juta dalam masa lima bulan selepas ia dilancarkan. Jumlah pelanggan berbayar ini dilihat akan lebih meningkat di masa hadapan menurut kajian.
Kajian terkini dari Digital TV Research melaporkan yang menjelang tahun 2025, Disney+ akan menerima pelanggan berbayar mencecah 202 juta. Peningkatan jumlah ini adalah lebih banyak dari anggaran asal, iaitu 126 juta. Peningkatan ini dikatakan adalah kerana wabak Covid-19 yang menjadikan ramai orang mula melanggan kepada platform penstriman video.
Bagi platform penstriman lain, Netflix dikatakan akan mempunyai 258 juta pelanggan menjelang tahun 2025, 141 juta untuk Amazon Prime Video, 25 juta untuk HBO Max dan 14 juta untuk Apple TV+. Disney+ dilihat dianggarkan akan berada di tangga kedua di bawah Netflix menewaskan Amazon dan lain-lain.
Disney+ sehingga hari ini masih belum hadir untuk pasaran Malaysia lagi. Bila? Masih tiada berita, tetapi menurut laporan lepas – Disney+ akan hadir ke Malaysia melalui platform Hotstar yang mana adalah platform penstriman video milik Disney untuk pasaran India.