Skip to main content

Saya merasakan agak sukar untuk sesiapa sahaja tidak pernah mendengar judul permainan Patapon. Ia adalah siri yang diterbitkan oleh Sony Interactive Entertainmen. Terdapat 3 permainan yang dikeluarkan bawah judul ini, dan kesemuannya untuk konsol mudah alih Sony iaitu PSP.

Pada tahun 2017, SIE membawa Patapon versi Remastered ke konsol PlayStation 4 dan pada Januari lepas, mereka membawa Patapon 2 Remastered pula. Sebelum ini, saya pernah mencuba untuk bermain Patapon melalui PSP, tetapi tidak sangat menyukainya, ia adalah kerana permainan irama bukanlah kemahiran saya.

Selepas beberapa jam mencuba Patapon 2 Remastered ini, saya boleh katakan walaupun dengan pelbagai penambah-baikkan, ia masih lagi permainan yang saya kenali dahulu, baik dan buruknya.

Resolusi 4K

Resolusi untuk PSP, iaitu konsol permainan asal Patapon 2 dikeluarkan mempunyai resolusi 480 x 272 iaitu jauh berbeza dengan resolusi 1080p tambah lagi 4K yang disertakan di dalam permainan ini jika dimainkan di PlayStation 4 Pro. Ia mungkin tidak membawa perbezaan yang jelas, terutama permainan ini tidak mempunyai rekaan yang benar-benar mengguna-pakai resolusi yang tinggi secara sepenuhnya. Namun, jika anda masih ingat permainan di PSP, anda akan mengagumi dengan kualiti grafik baharu yang disertakan.

Patapon 2 Remastered terus mengekalkan rekaan yang sudah semestinya menjadi sesuatu yang sudah biasa bagi ramai pemain. Dengan watak-watak yang direka secara ringkas, tetapi mempunyai pelbagai aksesori berbeza yang memperlihatkan keunikan setiap watak-watak tersebut. Dengan hadirnya resolusi yang lebih tinggi, saya merasakan keunikan rekaan menjadi lebih jelas, dengan penggunaan warna yang terang ia adalah satu permainan yang sangat senang untuk dipandang, dan dihargai.

Satu perkara yang mengganggu pengalaman saya adalah beberapa adegan yang disertakan di dalam permainan ini, tidak ditambah-baikkan, bahkan saya merasakan ia masih menggunakan video asal, yang apabila dimainkan di TV resolusi tinggi, ia akan nampak pecah dan sangat tidak menarik untuk dipandang. Memberikan pengalaman yang tidak tetap.

Pata Pata Pata Pon

Bagi anda yang sudah pernah mecuba permainan Patapon, versi Remasterd ini juga tidak menyertakan sebarang perubahan untuknya. Cuma kini, anda boleh mainkan di TV.

Untuk anda yang tidak pernah mencubanya, ia adalah permainan irama yang mempunyai elemen RPG. Anda akan mengawal puak ataupun tentera Patapon untuk melalui satu kawasan dan juga melawan dengan pelbagai penjahat. Cara mengawal adalah menggunakan kombinasi butang yang setiap-nya mempunyai bunyi tersendiri. Contohnya butang empat segi memberi kan bunyi Pata, dan butang bulan memberi bunyi Pon. Jika anda menekan kombinasi Pata, Pata, Pata, Pon ia akan membuatkan Patapon untuk bergerak ke depan. Sepanjang permainan anda akan mendapat pelbagai kombinasi berbeza yang mempunyai aksi berlainan seperti menyerang, bertahan dan berundur.

Sesuatu yang menjadi permainan ini sukar adalah, walaupun anda mempunyai kombinasi tersebut, anda tidak boleh menekan-nya sesuka hati, sebaliknya ia mesti mengikut irama muzik latar yang akan sentiasa “loop”, jika anda tersalah kombinasi, pergerakan anda gagal, jika kombinasi benar tetapi tidak se-irama dengan muzik latar, pergerakan tersebut juga akan gagal. Ia akan memberikan bentuk permainan yang sukar dan mencabar untuk yang meminati permainan irama, tetapi menjengkelkan untuk pemain yang ingin bermain secara kasual.

Satu perkara yang saya perasan adalah, permainan ini lebih mudah jika dimainkan menggunakan fon kepala, ataupun fon telinga berbanding menggunakan bunyi terus daripada TV ataupun soundbar. Ia akan menjadikan lebih mudah untuk memastikan irama yang tepat. Saya tidak pasti jika ia adalah masalah permainan ataupun masalah saya yang kurang mahir, tetapi bagi saya agak menyusahkan jika saya ingin bermain di TV tetapi perlu menggunakan fon kepala.

Semasa anda tidak mengembara ataupun menyerang anda juga mempunyai pelbagai tugasan lain, terutamanya meningkatkan tahap tentera Patapon anda. Patapon mempunyai “jenis” yang berbeza, di mana setiap jenis tersebut mempunyai bentuk serangan yang berlainan. Ada menggunakan pedang/kapak, ada yang menggunakan lembing dan ada juga yang menggunakan panah. Bagi menghasilkan tentera jenis baharu ataupun meningkatkan tahap, anda memerlukan pelbagai bahan yang berbeza.

Bahan-bahan inilah yang akan memerlukan anda “grind”, grind di dalam permainan ini boleh dilakukan dengan bermain kembali peringkat yang sudah diatasi sebelum ini. Semasa percubaan saya, saya boleh katakan anda perlu melakukan grind ini kerana permainan ini boleh menjadi sukar jika tidak mempunyai tentera yang kuat ataupun tidak membawa jenis yang bersesuaian dengan peringkat tertentu.

Melainkan anda mempunyai kemahiran yang tinggi untuk permainan irama, saya boleh katakan bersedia untuk melalui peringkat yang sama berulang kali, sehinggalah mempunyai tentera yang cukup kuat sebelum dapat meneruskan kepada peringkat seterusnya.

Secara keseluruhan terdapat lebih 30 misi yang perlu diselesaikan, ditambah lagi dengan “grind” yang perlu dilakukan, serta terpaksa mencuba berkali-kali (tanpa mempunyai “checkpoint” di pertengahan peringkat) saya boleh katakan permainan ini akan mengambil masa lebih 20 jam untuk dihabiskan dan mungkin mencapai 30 jam jika kurang mahir seperti saya, walaupun menggunakan tahap kesukaran yang Easy.

Dengan kata lain, ia mempunyai kandungan yang banyak, tetapi sama ada anda menyukai ataupun tidak dengan bentuk permainan ia boleh menjadi seronok ataupun terlalu berulang, bagi saya ia terasa sedikit berulang, dan berharap ia adalah lebih pendek dan lebih mudah.

Satu perkara yang anda perlu tahu, jika anda adalah pemain asal untuk Patapon 2, mod permainan Patagate masih disertakan, akan tetapi ia tidak lagi menyokong sesi multi-pemain, sebaliknya 4 lagi watak akan dikawal oleh AI.

Muzik

Sebagai permainan irama, muzik sudah semestinya menjadi elemen yang penting untuk permainan ini. Secara keseluruhan, muzik-muzik yang disertakan adalah baik, sangat mengasyikkan untuk didengari, akan tetapi oleh kerana ia perlu mempunyai muzik yang dapat ditambah dengan kesan bunyi kawalan, ia serba sedikit terasa muzik berulang walaupun setiap-nya mempunyai perbezaan tertentu.

Selain masalah permainan menjadi lebih sukar jika dimainkan menggunakan pembesar suara TV ataupun soundbar, seperti yang saya terangkan di bahagian atas, bunyi muzik juga agak serabut. Oleh kerana anda perlu benar-benar mendengar, ia sangat mengganggu. Masalah ini boleh diselesaikan dengan menggunakan set fon kepala ataupun fon telinga, tetapi ia baik jika pemain ingin bermain dengan lebih kasual di hadapan TV, yang merupakan sebab utama permainan ini menerima versi Remake.

Berbaloi?

Saya boleh katakan yang Patapon 2 Remastered adalah Patapon 2 yang anda suka ataupun tidak dahulu. Jika anda menyukainya, saya boleh katakan yang anda harus mencuba versi ini kerana kualiti grafik yang lebih baik, tambahan bentuk permainan bagi permainan ini sentiasa terasa segar, tidak kira beberapa kerap anda pernah bermain-nya sebelum ini.

Jika anda mencubanya sebelum ini, dan tidak menyukainya, saya boleh katakan tiada apa yang disertakan di dalam versi ini yang akan mengubah penerimaan anda kepada permainan ini, kerana saya tidak merasakan kualiti grafik di PSP menjadi masalah kepadanya sebelum ini.

Jika anda tidak pernah mencuba permainan Patapon, terutamanya Patapon 2 tetapi meminati permainan irama, Patapon 2 Remastered adalah satu permainan yang sangat padat dengan pelbagai kandungan serta pelbagai pengubah-suaian yang boleh dilakukan untuk memberikan pengalaman yang berbeza setiap masa. Tambahan dengan harga yang sangat berpatutan iaitu RM59 sahaja, sangat mudah untuk saya syorkan.

Namun, hanyalah jika anda benar-benar menggemari permainan irama, kerana Patapon 2 Remastered boleh menjadi permainan yang akan membuatkan anda gagal sehingga tahap yang menjengkelkan.

Penafian: Kod permainan untuk Patapon 2 Remastered disediakan oleh SIE untuk ulasan ini.

Leave a Reply