Siri animasi Gundam bertanggungjawab mempopularkan genre robot gergasi di seluruh dunia selepas muncul pertama kali di Jepun pada tahun 1979. Ia amat popular sehingga beberapa Gundam bersaiz sebenar telah dibina di Jepun sebagai tarikan pelancong. Tahun ini Gundam Factory Yokohama akan dibuka dan ia turut akan mempunyai sebuah Gundam bersaiz sebenar.
Minggu lalu rangka robot yang boleh bergerak ini diperlihatkan kepada umum buat pertama kali. Pembinaannya sedang diteruskan bagi mengejar tarikh pembukaan Gundam Factory Yokohama pada Oktober 2020. Gundam bersaiz sebenar ini adalah setinggi 18 meter dan seberat 25 Tan – 5 Tan lebih ringan berbanding rekaan asal kerana rekaan semula komponen dan penggunaan bahan gentian karbon.
Bahagian kaki, tangan dan kepala boleh bergerak menggunakan motor elektrik sepenuhnya. Sebelum ini dua Gundam bersaiz sebenar yang dipamerkan di Odaiba mempunyai pergerakan yang terhad pada kepala dan beberapa panel tubuh. Ia adalah sebahagian daripaada Gundam Global Challenge yang dimulakan pada tahun 2009 bagi merealisasikan impian membina Gundam di dunia sebenar.