Sony Mempatenkan Cara Mikrotransaksi Dalam Skrin

Suka atau tidak, mikrotransaksi dan kandungan muat-turun (DLC) adalah sesuatu yang boleh dikatakan lumrah apabila bermain permainan video dan komputer pada hari ini.

Baru-baru ini, Sony dilaporkan telah mempatenkan satu cara mempamerkan mikrotransaksi yang baru dimana permainan boleh menunjukkan menu mikrotransaksi tersebut secara picture-in-picture apabila permainan sedang dimainkan.

Menggunakan teknologi pembelajaran mesin, permainan video boleh mengeluarkan menu pop-up yang boleh menunjukkan tip, kandungan tambahan, sumber-sumber yang boleh dibeli dan sebagainya. Apa yang menarik disini, bergantung kepada corak pemain tersebut bermain, permainan tersebut boleh juga menunjukkan peratusan dimana pemain tersebut boleh melepasi halangan ataupun bos yang sedang dilawan.

Sebagai contoh, Sony menunjukkan adegan didalam God of War apabila Kratos dan Atreus bertemu Jormungandr, dan didalam adegan tersebut, Sony menunjukkan sebuah kotak menu dimana pemain boleh membeli sumber-sumber yang diperlukan.

Buat masa ini tiada siapa tahu apakah pelan Sony untuk paten mikrotransaksi ini, tetapi ia diharap tidak terlalu mengacau pengalaman pengguna bermain permainan video kelak.

Sohor Kini