Jika Oktober tahun lepas, Razer melancarkan Junglecat iaitu alat kawalan seakan Joy-con untuk Switch yang boleh digunakan di peranti pintar, minggu ini di CES, mereka melancarkan satu lagi alat kawalan yang hampir serupa iaitu Kishi.

Namun perbezaan antara Junglecat dan Kishi, selain daripada rekaan, adalah melalui Junglecat ia disambung melalui bluetooth manakala untuk Kishi ia akan disambung terus melalui USB-C ataupun sambungan Lightning untuk iOS.

Oleh kerana ia disambung terus ke peranti, ia tidak perlu untuk dicaj secara berasingan seperti Junglecat, dan jika anda ingin mengecas peranti semasa bermain, ia mempunyai port di luar untuk digunakan. Secara teori, ia juga akan mengurangkan kadar pendam berbanding sambungan melalui bluetooth.

Kishi akan mempunyai strap kenyal di belakang untuk menyokong peranti semasa bermain, dan senang untuk dilipat agar ia mudah untuk di bawa. Ia juga mempunyai batang analog yang boleh ditekan.

Razer mengatakan alat kawalan ini adalah untuk persediaan untuk memasuki era permainan video awan. Ia akan dikeluarkan pada tahun ini dan menurut The Verge ia akan dijual dengan harga lebih kurang Junglecat iaitu $100 (RM410).

Sohor Kini