Selepas memenangi anugerah Montreal International Film Festival Animation baru-baru ini, syarikat animasi tempatan Les Copaque, nama dibelakang filem animasi popular Upin&Ipin: Keris Siamang Tunggal telah menghantar nama filem tersebut untuk pencalonan untuk anugerah Oscars.
Melalui sebuah ciapan di Twitter, Les Copaque mengumumkan perkara tersebut, dan ia disahkan pada laman web anugerah Oscars tersebut sendiri.
Jika dipilih, filem Upin&Ipin tersebut akan dicalonkan dibawah kategori “Animated Feature Film” untuk acara Academy Awards ke-92 yang akan berlangsung pada 9 Februari tahun hadapan.
Akan tetapi, untuk filem tersebut layak dicalonkan pada anugerah tersebut, ia perlu disiarkan di panggung wayang di Los Angeles untuk sekurang-kurangnya seminggu. Pihak Academy Awards kemudiannya akan mengumumkan jika filem tersebut akan dicalonkan untuk anugerah tersebut pada bulan Januari kelak.
Buat masa ini, kami masih menunggu jawapan daripada Les Copaque samada Upin&Ipin: Keris Siamang Tunggal akan ditayangkan di panggung-panggung wayang disana ataupun tidak.