Ubisoft hari ini mengumumkan yang mana mereka akan mengembangkan permainan-permainan keluaran mereka kepada siri animasi yang mana buat masa ini, dua siri utama diumumkan berdasarkan dua francais permainan terbesar mereka iaitu Watch Dogs dan Far Cry.
Menurut laporan, siri animasi Far Cry tersebut akan dihasilkan berdasarkan permainan Far Cry 3: Blood Dragon, iaitu DLC sampingan buat permainan Far Cry 3 dan ia akan bertajuk Captain Laserhawk: A Blood Dragon Vibe.
Menurut Ubisoft, siri animasi ini akan dihasilkan oleh Adi Shankar, iaitu beliau terkenal sebagai penerbit untuk siri animasi Netflix, Castlevania yang mana mendapat sambutan ramai dengan musim ke-3 yang bakal tiba tidak lama lagi.
Namun buat masa ini, informasi lain masih belum dikongsikan, akan tetapi ianya disahkan akan mempunyai elemen dewasa dengan berkaitan dengan siri permainan Ubisoft yang lain.
Manakala siri animasi Watch Dogs pula akan memfokuskan kepada penonton yang lebih muda di mana ianya akan memfokuskan watak gadis muda yang menyelesaikan jenayah kecil di sekolah menengah dengan menggodam, seperti mana di dalam permainan Watch Dogs.
Buat masa ini informasi lain masih belum dikongsikan dan apa yang pasti ianya akan menggunakan elemen yang lebih ringan dan Ubisoft hanya berkongsi imej promosi sahaja.
Semestinya siri TV oleh Ubisoft bukanlah sesuatu yang baru di mana sebelum ini mereka juga mengumumkan siri Mythic Quest: Raven’s Banquet yang bakal tiba di Apple TV+ tidak lama lagi.
Selain itu, siri animasi Rabbids juga telah pun menerima musim ke-4 dan mendapat sambutan yang baik di kalangan penonton di Netflix. Juga dua lagi animasi yang diumumkan iaitu Hungry Shark Squad dan Rayman juga bakal menerima siri animasinya tersendiri, namun ianya lebih memfokuskan elemen kanak-kanak.
Buat masa ini, kesemua animasi yang diumumkan masih belum tarikh pelancaran mahupun platform penstrimannya. Kami pasti akan mengemaskini setelah ia diumumkan secara rasmi.