Sebelum ini, kami melaporkan yang mana permainan Red Dead Online iaitu mod multi-pemain buat Red Dead Redemption 2 akan menerima sebilangan kemaskini termasuklah 3 kelas watak baharu.

Bersempena dengan pengumuman tersebut, Rockstar Games hari ini juga berkongsi satu video acah khas yang mana mereka memperlihatkan sebilangan kemahiran dan misi-misi yang bakal pemain tempuhi mengikut jenis watak-watak tersebut.

Selain itu, Rockstar Games juga hari ini mengumumkan bahawa mereka akan membawa lebih banyak kandungan bermula minggu hadapan iaitu sistem langganan Outlaw Pass, di mana ianya adalah seakan sistem langganan Battle Pass dari permainan Fortnite.

Seperti biasa, langganan ini adalah pilihan pemain sama ada ingin melanggan ataupun tidak dan melaluinya, Rockstar Games masih lagi akan memberi pelbagai ganjaran buat pemain. Namun, dengan melanggan “Outlaw Pass”, pemain akan berupaya untuk mendapat lebih banyak ganjaran dan akan dinaik-taraf keahlian kelab “Wheeler Rawson And Co” dengan nilai yang lebih tinggi.

“Outlaw Pass” boleh dilanggan dengan harga 35 bar emas, iaitu mata wang di dalam permainan tersebut yang mana ianya boleh dibeli melalui kandungan mikro-transaksi ataupun mendapat ganjaran ketika melakukan misi dan cabaran. Melaluinya, terdapat 70 peringkat ganjaran yang pemain boleh dapatkan bermula 10 September ini sehingga 18 November kelak.

Bagi anda yang masih lagi belum mencuba mod atas-talian Red Dead Redemption, iaitu Red Dead Online, permainan tersebut sudah pun dilancarkan di Playstation 4 dan Xbox One tahun lepas.

Sohor Kini