Filem kedua Animonsta Studio adalah BoBoiBoy 2 dan ia baru sahaja ditayangkan pada 8 Ogos, iaitu minggu lepas. Dalam masa satu hari sahaja, filem ini sudah mendapat kutipan sebanyak RM1.18 Juta. Kutipan ini adalah yang tertinggi untuk pembukaan buat filem animasi di Malaysia.

Kini selepas 5 hari ditayangkan, filem ini berjaya mengutip sebanyak RM9.9 Juta. Ia adalah satu kutipan yang banyak dan kutipan ini adalah daripada 763,000 penonton di Malaysia. Menurut CEO Animonsta, Nizam Razak – filem pertama mereka iaitu BoBoiBoy The Movie yang ditayangkan pada tahun 2016 mengambil masa selama 13 hari untuk mencapai kutipan ini.
Semasa BoBoiBoy The Movie, kami perlukan 13 hari untuk kutipan yang sama!
Kata Nizam Razak melalui Facebook beliau
Filem BoBoiBoy The Movie pada tahun 2016 mendapat kutipan sebanyak RM20 Juta sepanjang tempoh tayangan. Filem kedua sudah menghampiri separuh dari jumlah keseluruhan filem pertama dan kutipan itu adalah daripada 5 hari tayangan sahaja. Berdasarkan kicauan di Twitter, filem ini mendapat banyak sambutan positif dan ramai yang memberikan pendapat yang memuaskan.