Lanjutan daripada pengumuman tarikh pelancaran Dragon Quest XI S: Echoes Of An Elusive Age buat konsol Switch semalam, Square-Enix hari ini juga memperlihatkan edisi konsol Switch khas bertemakan permainan tersebut.
Dengan nama Dragon Quest S Loto Edition, berkas tersebut akan menyertakan pelbagai kandungan tambahan dan dukacitanya ianya hanya bakal tiba buat pasaran Jepun sahaja.

Berkas tersebut akan menyertakan konsol Switch dengan rekaan khas bersama-sama JoyCon berwarna biru, iaitu warna seakan watak Slime.
Menariknya, berkas tersebut juga akan menyertakan permainan Dragon Quest XI S: Echoes Of An Elusive Age edisi Gorgeous di mana ianya akan menyertakan:
- Permainan fizikal Dragon Quest XI S: Echoes Of An Elusive Age bersama kulit salinan khas
- Kandungan drama bersuara
- Kandungan suara latar dwi-bahasa
- Kandungan bonus Gorgeous dengan set kostum buat watak permainan

Selain itu, Square-Enix juga bakal melancarkan edisi Gorgeous tersebut secara berasingan di mana ianya juga akan menyertakan buku nota elektrik khas dengan skrip drama.
Dragon Quest XI: Echoes Of An Elusive Age telah pun dilancarkan di Playstation 4 dan PC, kini melalui edisi Dragon Quest XI S: Echoes Of An Elusive Age Definitive Edition, ianya akan menyertakan pelbagai kandungan baharu seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini.
Dragon Quest XI: Echoes Of An Elusive Age bakal tiba di Switch pada 27 September 2019.