Informasi Permainan Video Terkini
Red Dead Online Bakal Tinggalkan Fasa Beta Dengan Pelbagai Kandungan Baharu

Red Dead Online Bakal Tinggalkan Fasa Beta Dengan Pelbagai Kandungan Baharu

Diterbitkan pada Mei 15, 2019 oleh .

Seperti yang dijanjikan oleh Rockstar Games semalam, kandungan atas-talian Red Dead Redemption 2 iaitu Red Dead Online akan tinggalkan fasa beta bermula hari ini di mana bersempena itu, Rockstar Games melancarkan pelbagai kandungan yang bakal tiba buat pemain.

Menurut Rockstar Games, kemaskini tersebut sudah pun dilancarkan hari ini di Playstation 4 dan Xbox One yang mana bagi anda yang ingin mendapatkan kesemua kandungan baharu di bawah, anda hanya perlu memuat-turun kemaskini terkini buat permainan tersebut.

Antara kandungan yang disertakan adalah beberapa misi baharu yang memfokuskan misi koperasi. Dengan tajuk misi ‘A Land Of Opportunities’, pemain berupaya untuk meneruskan misi yang memfokuskan geng Del Lobos bersama-sama dengan membantu Marshall Tom Davies.

Selain itu, Rockstar Games juga menyertakan misi-misi baharu terbuka untuk pemain dengan pelbagai jenis misi berbeza dan termasuklah cabaran-cabran Posse bersama-sama dengan acara dinamik khas yang bakal mengejutkan pemain ketika mereka menerokai dunia Red Dead Online tersebut.

Bagi anda yang ingin bermain kad poker bersama rakan-rakan anda, Rockstar Games kini akhirnya membawa fungsi tersebut di mana anda boleh mencabar rakan anda atau pun bermainnya secara awam di mana ianya menyokong sehingga 6 pemain serentak di lokasi Blackwater, Saint Denis, Tumbleweed, Valentine dan Flatneck Station.

Rockstar Games juga akan memperkenal mod baharu iaitu Overrun Showdown Mode di mana pemain berupaya untuk mempertahan kawasan dan merampasnya daripada musuh. Seperti biasa, terdapat juga beberapa senjata dan pakaian baharu yang mana pemain boleh dapatkan di kedai-kedai di dalam permainan ini.

Manakala bagi anda yang tidak ingin memburu pemain dan hanya ingin mengembara di dalam dunia Red Dead Online ini, Rockstar Games juga mengemaskini dengan bentuk gaya permainan berbeza sama ada secara ‘Offensive’ ataupun ‘Defensive’ di mana setiap satunya mempunyai bentuk yang berbeza. Bagi mereka yang bermain secara ‘Defensive’, mereka akan lebih kurang diserang oleh pemain dan serangan yang diterima oleh pemain ‘offensive’ akan lebih berkurangan.

Fungsi ini juga memfokuskan bentuk sistem permusuhan baharu yang mana akan mengawal tahap gaya pemain di mana pemain yang lebih agresif akan lebih mudah dikesan dan pemain yang ingin bermain secara senyap dapat mengelak mereka dengan lebih mudah. Selain itu, Rockstar Games juga mengemaskini keseimbangan permainan tersebut di mana anda boleh membacanya di laman rasmi Rockstar Games.

Rockstar Games juga menjanjikan pelbagai lagi kandungan yang bakal mereka sertakan seperti tiga kelas watak berbeza di mana setiap satunya mempunyai gaya permainan berbeza untuk pemain lakukan. Kelas tersebut juga akan membuka lebih banyak bentuk senjata, pakaian dan sebagainya. Menurut mereka, kandungan ini akan tiba pada suku ketiga tahun ini.

Bagi anda yang mempunyai permainan tersebut di konsol Playstation 4, Rockstar Games menjanjikan pelbagai kandungan tambahan bakal tiba lebih awal di konsol tersebut dan menjelang penghujung bulan ini, akan terdapat pelbagai lagi mod Showdown yang pemain boleh sertai sehinggalah bulan Jun kelak.

Semestinya ini adalah satu kemaskini terbesar buat permainan tersebut bersama-sama dengan keluarnya Red Dead Online dari fasa Beta, permainan ini semestinya akan berkembang dengan baik sekali bersama pelbagai sokongan-sokongan yang menarik pada masa akan datang.

Bagi anda yang masih lagi belum mencuba mod atas-talian Red Dead Redemption, iaitu Red Dead Online, permainan tersebut sudah pun dilancarkan di Playstation 4 dan Xbox One tahun lepas di mana bagi mod penceritaan solonya sudah kami ulaskan dibawah. Kami pasti akan kongsikan pendapat kami berkenaan Red Dead Online pada masa terdekat ini.


TIPS & ULASAN