Red Dead Redemption 2 sememangnya menjadi satu perbualan ramai untuk tahun ini. Bukan sahaja skop permainan tersebut dihasilkan dengan begitu meluas, namun terdapat pelbagai terperinci yang membuahkannya satu permainan yang sangat nyata.

Seperti yang dikongsikan oleh kami sebelum ini di artikel pandang pertama Red Dead Redemption 2, permainan ini bukanlah satu permainan tipikal dunia terbuka yang sering anda mainkan sama ada permainan keluaran Sony mahupun Ubisoft. Permainan ini lebih memfokuskan kepada bentuk simulasi dimana pemain bukan sahaja perlu sentiasa mengawal keadaan watak permainan, malah terdapat pelbagai lagi bentuk pertahanan diri yang pemain perlu uruskan untuk bermain permainan ini.

Rockstar Games, iaitu studio pembangun permainan yang terkenal dengan permainan dunia terbuka seperti Grand Theft Auto dan Bully kali ini membawa permainan seterusnya buat Red Dead Redemption dimana kali ini, ianya bertempatkan 12 tahun sebelum permainan Red Dead Redemption yang pertama.

Kali ini, pemain akan mengawal watak Arthur Morgan, iaitu beliau merupakan sebahagian daripada kumpulan Van Der Linde dimana mereka merupakan sekumpulan penjenayah yang diketuai oleh Dutch Van Der Linde.

Dengan ini, sebagai seorang peminat siri Red Dead Redemption dan setelah hampir 70 jam saya bermain permainan Red Dead Redemption 2. Ini adalah ulasan penuh saya bagi permainan ini.

Cerita

Red Dead Redemption 2 sememangnya mempunyai penceritaan yang sangat menarik dan unik. Namun apa yang saya sangat menyukai berkenaannya ada senarai watak-watak yang terdapat di dalam permainan ini yang mana setiap satunya mempunyai keperibadian yang tersendiri.

Tidak asing bagi permainan keluaran Rockstar Games untuk menghasilkan pelbagai jenis bilang watak yang menarik, namun apa yang mereka lakukan di dalam Red Dead Redemption 2 kali ini sememangnya satu bentuk penceritaan taraf yang lebih tinggi.

Bukan sahaja penceritaan utama permainan ini sangat menarik, malah setiap misi dan cerita sampingan yang terdapat di dalam permainan ini sememangnya seronok dan mengasyikkan untuk dimainkan sepanjang sesi permainan saya.

Bercakap berkenaan watak, saya juga menyukai watak utama di dalam permainan ini iaitu Arthur Morgan. Beliau bukan sahaja satu watak yang menarik, malah saya berasa beliau merupakan salah satu watak yang saya hormati sepanjang permainan ini. Setiap pilihan yang dilakukan ketika saya mainkan watak tersebut, kesemuanya membuahkan satu jalinan menarik.

Tambahan juga dengan skrip dialog penulisan yang dihasilkan dengan baik, setiap perbualan, adegan yang terdapat di dalam permainan ini sememangnya bertarafkan sebuah filem barat koboi yang sangat mengasyikkan.

Tidak dilupakan juga watak-watak yang terdapat di dalam Red Dead Redemption yang pertama seperti Dutch Van Der Linde dan John Marston, kedua-duanya menghasilkan satu bentuk teras penceritaan yang pasti buat anda yang bermain permainan Red Dead Redemption pertama berpuas hati.

Memandangkan permainan ini bertempatkan 12 tahun sebelum permainan pertamanya, Rockstar Games kali ini memaparkan kisah sebalik yang berlaku di antara kumpulan Van Der Linde tersebut. Sekaligus, ianya memberi satu penceritaan yang pasti anda tidak akan melupai.

Walaupun begitu, bagi anda yang tidak pernah bermain Red Dead Redemption yang pertama, Red Dead Redemption 2 juga merupakan satu titik permulaan yang bagus buat anda untuk bermainnya. Ini kerana memandangkan ianya bertempatkan sebelum permainan pertama, anda sendiri tidak perlu mengetahui sebarang kisah selepasnya untuk bermain permainan ini.

Akan tetapi, bagi anda yang bermain permainan pertamanya seperti saya, Red Dead Redemption 2 sememangnya satu permainan yang pasti membuka mata anda dan mengetahui pelbagai kisah geng tersebut sebelum mereka diperkenalkan ketika di dalam permainan pertamanya.

Akhir kata dari segi penceritaan, Red Dead Redemption 2 adalah satu penanda aras untuk penceritaan yang epik dan menarik di dalam permainan video. Ianya bukan sahaja membawa anda untuk mengembara bersama-sama rakan seperjuangan di dalam geng tersebut, malah setiap pilihan, setiap perbualan dan tindakan anda, ianya membawaka satu naratif penceritaan yang membuat saya ketawa, menangis dan terharu dengan sepanjang pengembaraan saya bersama Arthur Morgan.

Grafik

Dari segi visual grafik, sememangnya permainan ini berada di tahap kualiti grafik yang tinggi. Setiap paparan visual model dan persekitaran, dihasilkan dengan baik.

Tambahan itu, permainan ini juga memberi satu kesan visual yang sangat nyata dimana setiap kali pemain jatuh ke lumpur ataupun mengangkat haiwan yang berdarah, kesan-kesan lumpur atau darah tersebut akan terlekat di pakaian pemain.

Rockstar Games sememangnya tidak melakukan sebarang jalan pintas dari segi terperincian grafik permainan ini seperti mana setiap animasi yang dipaparkan ketika Arthur membuang kulit haiwan mahupun memotong kayu, animasi yang dipaparkan setiap kalinya mempunyai sebilangan perbezaan.

Ini sekaligus membawa hasil yang sangat pelbagai buat permainan ini bukan sahaja dari segi kandungan, malah dari segi persembahannya yang pasti membuat pemain tidak bosan untuk terus bermain.

Tidak dilupakan juga eskpressi riak wajah yang dipaparkan di dalam permainan ini juga sangat cantik dan nyata. Ianya boleh dilihat ketika awal permainan tersebut dimana sekumpulan geng Van Der Linde berada di dalam kawasan yang sejuk dan mereka cuba untuk meneruskan hidup, saat tersebut segala riak wajah yang dipaparkan kesemuanya kelihatan satu adegan yang sangat nyata seolah ianya adalah satu bentuk filem.

Walaupun begitu, saya mendapati pada penghujung permainan ini, hasil kualiti grafik menurun. Ini kerana terdapat sebilangan adegan yang tiba-tiba di potong tanpa sebarang peralihan. Termasuklah juga terdapat beberapa pepijat visual yang membuatkan watak kelihatan pelik dan tidak tentu arah.

Walaupun begitu, pepijat yang terdapat di dalam permainan ini tidaklah merosakkan sebarang pengalaman ketika saya bermainnya. Pepijat juga adalah perkara yang tidak asing untuk permainan dunia terbuka, terutamanya permainan seperti ini yang mana mempunyai pelbagai kandungan dan peta kawasan yang sangat luas.

Tambahan juga, saya bermain permainan ini dengan konsol Playstation 4 Pro bersama paparan skrin 4k HDR yang mana saya akui ianya memaparkan bentuk visual yang sangat cantik. Namun apa yang saya dapati adalah fungsi HDR yang terdapat di dalam permainan ini agak mengecewakan dimana jika saya mengaktifkan fungsi tersebut, ianya berasa seolah permainan ini meletakkan satu penuras kelabu di dalam permainan tersebut. Ini sekaligus ianya membuat warna-warna yang terdapat di dalam permainan ini berasa sangat tepu dan kosong.

Dengan kesan yang sebegini, ianya juga sedikit sebanyak merosakkan kualiti grafik permainan tersebut termasuklah skor ulasan yang akan saya berikan.

Audio

Audio permainan ini adalah satu lagi tahap kualiti yang Rockstar Games berjaya hasilkan dengan baik sekali. Permainan Red Dead Redemption 2 semestinya tidaklah seperti Grand Theft Auto dimana pemain mempunyai radio untuk mendengar muzik ketika memandu. Namun apa yang dipaparkan melalui permainan ini kesemua audio termasuklah muzik dilatarnya, dihasilkan dengan menyegerak.

Apa yang saya maksudkan adalah muzik-muzik yang latar yang terdapat di dalam permainan ini adalah sangat menarik sekali dimana ianya sering dimainkan ketika saat-saat genting seperti ketika pemain diserang oleh musuh ataupun ketika saat pemain bertempur dengan ketua musuh yang kuat.

Muzik-muzik latar tersebut juga sering dimainkan ketika saat pemain perlu menunggang kuda dan ke destinasi yang jauh, dimana sekaligus ianya membuahkan satu bentuk panaroma koboi yang sangat menggamit hati saya ketika saya bermain.

Selain itu, setiap lakonan suara latar oleh pelakon-pelakon yang terdapat di dalam permainan ini semuanya dipaparkan dengan baik sekali. Pada pendapat saya, Red Dead Redemption 2 adalah permainan yang penuh dengan dialog perbualan. Bukan sahaja interaksi antara watak pemain di bandar-bandar. Malah setiap perbualan ketika adegan, mahupun ketika pemain berjalan bersahaja di tepi jalan, kesemuanya mempunyai dialog dan suara yang dipersembahkan dengan sangat baik sekali.

Sekaligud dengan dunia yang sebegitu, saya berasa Rockstar Games berjaya menghasilkan dunia permainan mereka yang tersendiri yang mana ianya bukan sahaja sangat meluas, malah sangat terperinci sealah ianya adalah satu dunia yang nyata dan wujud di dalam permainan Red Dead Redemption 2.

Kawalan Permainan

Banyak yang perlu saya katakan berkenaan kawalan permainan Red Dead Redemption 2 kali ini. Seperti yang saya kongsikan sebelum ini di pandang pertama, Red Dead Redemption 2 adalah satu permainan simulasi koboi. Ini kerana ianya berkait rapat dimana pemain perlu mengurus pelbagai benda dari kesihatan pemain, sehinggalah tahap kelaparan dan kedahagaan watak pemain tersebut.

Bukan setakat itu sahaja, pemain juga perlu mengurus kem yang terdapat di dalam permainan ini. Memandangkan pemain akan bergerak sebagai satu kumpulan geng, iaitu geng Van Der Linde, pemain perlu mengurus kem tersebut seperti mendapatkan barangan dan kelengkapan seperti makanan, peluru dan sebagainya.

Pemain juga berupaya untuk menaik-taraf kem tersebut dengan membeli barangan tambahan seperti reban ayam, tempat meletakkan kuda dan termasuklah pengankutan atau penyimpanan makanan tambahan, untuk meletakkan barangan yang lebih banyak.

Tambahan itu, pemain juga berupaya untuk memburu seperti rusa, arnab dan sebagainya dimana setiap anggota badan haiwan tersebut boleh digunakan untuk kegunaan pemain. Seperti daging-daging tersebut, pemain berupaya untuk memasakkannya untuk menjadi makan utama pemain. Manakala kulit-kulit haiwan tersebut boleh boleh dipotong dan dijual ataupun menjadi bahan-bahan untuk pemain menaik-taraf beg galas pemain ataupun menjadikannya sebagai satu pakaian.

Selain itu, pemain juga berupaya untuk membeli pelbagai jenis pakaian, menukar gaya rambut ataupun menaik-taraf dan pengubah-suai senjata-senjata pemain mengikut citarasa pemain. Apa yang membuat permainan ini berasa sangat nyata adalah janggut, misau atau jambang watak pemain akan semakin panjang dan pemain berupaya untuk memotongnya jika pemain inginkan. Namun, ianya juga tidak berupaya untuk dipanjangkan sendiri ataupun diubah-suai tanpa sebarang pernambahan seperti permainan Rockstar Games sebelum ini.

Bercakap berkenaan watak pemain, kuda kali ini juga memainkan peranan yang sangat penting. Kuda sememangnya adalah pengakutan utama pemain di dalam permainan ini dimana ianya bukan sahaja digunakan untuk menunggang dan bergerak ke satu lokasi ke satu lokasi, malah kuda tersebut juga memainkan peranan yang penting seperti kargo untuk pemain menyimpan kesemua barangan pemain.

Ini termasuklah segala senjata-senjata pemain dan juga termasuklah barangan seperti makanan, ubatan tambahan dan sebagainya. Untuk menyukarkan lagi buat pemain, kuda di dalam permainan ini mempunyai kematian kekal. Sekaligus jika kuda pemain mati di dalam permainan ini, pemain perlu mencari kuda baru dan mengangkut pelana kuda dari kuda lama pemain ke kuda yang baru. Ini kerana pelana tersebut merupakan kargo utama yang menyimpan barangan pemain.

Selain itu, pemain juga akan menjalinkan hubungan antara kuda tersebut dimana lagi rapat pemain dengan kuda, lagi banyak kemahiran yang pemain boleh lakukan bersama kuda tersebut seperti menunggang dengan lebih laju ataupun keupayaan untuk berhenti dengan lebih cepat.

Dari segi pertempuran pula, permainan ini masih lagi mengekalkan bentuk penembakkan asal daripada permainan Red Dead Redemption yang sebelum ini dimana fungsi Dead Eye juga kembali. Melaluinya pemain berupaya untuk memperlahankan masa dan memilih sasaran yang pemain ingin tembak. Menariknya juga, sepanjang sesi permainan ini, pemain juga akan mempelajari kemahiran baru Dead Eye tersebut disamping menaik-taraf kualiti dan jangka masa untuk melakukan kemahiran tersebut.

Dari segi penembakkan yang lain, kesemuanya masih lagi mengekalkan bentuk pentempuran yang hampir serupa dengan permainan Rockstar Games sebelum ini. Seperti pemain berupaya untuk berlindung di belakang lindung dan menembak dari situ. Termasuklah juga bentuk pertumpuran secara jarak dekat dimana pemain berupaya untuk menahan ataupun menumbuku musuh secara langsung.

Dari segi sistem kewangan pula, memandangkan pemain adalah penjenayah, pemain juga berupaya untuk merompak pelbagai jenis lokasi mahupun individu mengikut kesukaan pemain. Cara ini juga adalah cara yang paling ringkas untuk pemain dapatkan wang ataupun barangan yang pemain inginkan.

Walaupun begitu, setiap pilihan dan rompakkan yang pemain lakukan juga akan memberi kesan dimana jika pemain melakukan kesalahan di sesebuah negeri, pemain akan diburu oleh Sheriff ataupun penguatkuasa dimana mereka akan meletakkan harga Bounty mengikut kesalahan yang dilakukan oleh pemain. Ini juga akan menyebabkan pemain akan diburu oleh pemburu lain ataupun dikesan oleh penguatkuasa jika pemain berada di bandar ataupun kawasan yang diburu.

Kesalahan Bounty ini juga boleh dibayar melalui pejabat pos yang terdapat di sebilangan kawasan permainan tersebut. Bentuk ini juga adalah bentuk yang sama dilakukan oleh Rockstar Games sebelum ini di permainan Red Dead Redemption yang pertama. Sekaligus bagi mereka yang biasa dengan permainan tersebut, pemain pasti tidak akan mempunyai sebarang masalah ketika bermainnya.

Walaupun terdapat pelbagai perkara yang saya sukai dan kagum dengan permainan Red Dead Redemption 2 ini, namun terdapat juga beberapa perkara yang saya berasa ianya agak remeh. Namun, saya paham kenapa Rockstar Games membangunkan permainan tersebut sebegitu. Terutamanya konsep mereka yang ingin meletakkan skop nyata di dalam permainan video.

Akan tetapi, kesan nyata tersebut juga memberi beberapa perkara yang agak remeh dan menjengkelkan bagi saya seperti keupayaan untuk Fast Travel ataupun bergerak ke satu tempat dengan lebih pantas agak terhad. Tidak seperti permainan dunia terbuka lain dimana kebanyakkannya membenarkan pemain untuk bergerak ke satu lokasi ke  satu lokasi dengan pantas tanpa sebarang penalti.

Namun, melalui Red Dead Redemption 2, fungsi tersebut hanya terhad dari kem pemain ke lokasi yang dipilih sahaja dan ianya tidak boleh dilakukan sebaliknya. Tambahan juga, jika pemain ingin menggunakan kenderaan seperti Coach ataupun kereta api, pemain perlu membayar dengan wang yang lebih.

Ini sekaligus membuatkan pemain kebanyakkan menghabiskan masa untuk berada di atas kuda dan bergerak ke satu kawasan ke satu kawasan dengan jangka masa yang sangat lama.

Tambahan itu, seperkara yang saya tidak menyukai juga adalah bentuk pernaik-tarafan kem yang saya katakan di atas. Pernaik-tarafan ini juga agak terhad dan ianya sering kelihatan hanya saya seorang sahaja pemain yang menghabiskan wang untuk menaik-taraf kem tersebut. Selain itu, ketika penghujung permainan tersebut, segala pernaik-tarafan yang dilakukan oleh saya tidak lagi boleh digunakan malah ianya berasa seolah satu pembaziran sahaja.

Ini juga termasuklah juga dengan kandungan-kandungan yang saya kumpul dan juga wang yang saya dapatkan sepanjang sesi permainan tersebut. Ketika saya berada di penghujung permainan tersebut, sebahagian daripadanya akan hilang dan ianya membuatkan saya berasa satu pembaziran masa yang agak menjengkelkan saya setelah susah paya saya mengumpulkannya.

Namun, sekali lagi saya memahami bahawa Rockstar Games ingin membawa konsep nyata tersebut di dalam permainan ini. Namun, dengan bentuk permainan yang agak remeh dicampurkan dengan sebilangan perkara yang pemain perlu sentiasa uruskan. Ianya berasa permainan ini seolah satu kerja rumah yang amat memenatkan bagi saya untuk bermainnya.

Multi-Pemain

Buat masa ini, fungsi atas-talian bagi permainan Red Dead Redemption 2 masih belum lagi dilancarkan. Namun, berdasarkan senarai trofi yang terdapat di dalam permainan ini, fungsi atas-talian tersebut akan dipanggil Red Dead Online yang mana menurutnya, fungsi tersebut akan mempunyai bentuk seakan permainan Grand Theft Auto Online dengan sebilangan taraf permainan dan lokasi dan rumah yang pemain boleh dapatkan.

Namun, buat masa ini, kami tidak dapat mengulaskannya lagi dan akan kami berbuat demikian setelah Rockstar Games melancarkannya kelak.

Kesimpulan

Akhir kata, Red Dead Redemption 2 adalah satu permainan yang sangat luas. Terdapat pelbagai kandungan dan bentuk permainan yang terdapat di dalam permainan yang pasti akan membuat pemain bermain beratus-ratus jam. Penceritaannya yang epik dengan dunia koboi bersama pelbagai jenis watak-watak yang sangat menarik, sememangnya permainan ini adalah permainan terbaik yang dilancarkan untuk tahun ini.

Akan tetapi dengan bentuk permainannya yang agak remeh disebabkan skop nyata yang ingin dilakukan oleh pembangun, permainan ini mungkin bukan buat mereka yang ingin bermain dan menghabiskannya dengan pantas.

Malah saya sangat mengesyorkan anda untuk mengambil masa anda dan bermain permainan ini secara perlahan dan nikmati segala kandungan dan dunia yang terdapat di dalam permainan ini. Ini kerana setiap isi permainan yang terdapat di dalam permainan ini sememangnya sangat terperinci dan dibangunkan dengan baik sekali oleh Rockstar Games.

Red Dead Redemption 2 sudah pastinya adalah permainan dunia terbuka yang sangat menarik untuk tahun ini dan ianya meletakkan satu penanda aras yang sangat tinggi untuk permainan dunia terbuka yang lain.

Penafian: Kod permainan untuk Red Dead Redemption 2 disediakan oleh Rockstar Games.

Sohor Kini