Beberapa bulan lepas, Disney telah membeli Fox. Secara tidak langsung, segala siri-siri TV, filem, atau lesen-lesen Fox kini dimiliki Disney. Menjadi persoalan yang besar adalah, jika Disney telah membeli Fox adakah ini bermakna francais X-Men dan filem Fantastic Four akan dimasukkan dalam MCU? Ia sudah pun disahkan, cuma bila dan bagaimana masih kekal menjadi misteri.

Baru-baru ini, Disney telah mengumumkan perancangan mereka dari tahun ini sehinggalah tahun 2027. Perancangan ini termasuklah daripada projek-projek Fox yang tertangguh. Paling menarik perhatian saya adalah MCU Fasa Keempat hanya akan bermula pada tahun 2020. Untuk tahun 2020, Disney dan Marvel telah menjadualkan dua filem pada 1/5/20 dan 6/11/20. Kemudian untuk tahun 2021 dan 2022, setiap tahun akan mempunyai tiga filem. Antara filem yang sudah dikenalpasti bakal berlaku adalah filem solo Black Widow, Eternals, Shang-Chi dan Black Panther 2.

Kita juga sudah tahu sejak kebelakangan ini Disney kerap mengolah semula filem animasi klasik kepada filem aksi-nyata. Bermula bulan Mei ini kita ada Aladdin, bulan Julai Lion King dan November sekuel kepada Maleficent. Untuk tahun 2020, Disney telah merancang untuk tayangkan filem aksi-nyata Mulan pada Mac, diteruskan dengan Cruella pada Disember di mana ia adalah filem olahan semula 101 Dalmation yang bakal dilakonkan oleh Emma Watson. Jika itu tidak cukup bagi anda, Disney mempunyai lapan filem aksi-nyata lagi yang dirancang untuk ditayangkan pada tahun 2021 sehingga 2022.

Filem-filem dari Pixar pula tahun ini akan dimulakan dengan Toy Story 4. Tetapi ia tidak berhenti di situ. Tahun 2018, Pixar pernah umumkan projek bernama Onward – namun masih tidak pasti apakah ia. Tahun 2020 akan ada dua filem dari Pixar, satu filem pada tahun 2021 dan dua lagi filem untuk 2022. Harapnya akan ada sekuel dari filem-filem lama Pixar. Mungkin sekuel atau prekuel buat Wall-E?

Selain MCU, francais terbesar daripada Disney adalah francais filem-filem Star Wars. Disember tahun ini kita akan tonton Star Wars: Rise of The Skywalker. Filem Star Wars episod ke sembilan ini bukanlah penamat, tetapi bermula tahun 2022 sehingga 2024 – setiap tahun bulan Disember akan ada filem Star Wars baharu. Tidak kira prekuel atau sekuel atau juga trilogi, ia akan ditayangkan.

Kita beralih pula kepada siri filem Indiana Jones. Oh ya, Indiana Jones belum tamat. Ia masih lagi akan diteruskan dan berkemungkinan besar Harrison Ford akan terus memegang watak utama dan ia adalah sekuel. Pada awalnya, filem Indiana Jones kelima ini sepatutnya ditayangkan pada tahun 2019. Namun Disney telah menjadualkan semula untuk ia ditayangkan pada tahun 2021. Bagi yang musykil apa kaitan Disney dan Indiana Jones, Indiana Jones adalah milik Lucasfilm dan Disney pula memiliki Lucasfilm seperti Star Wars.

Daripada banyak-banyak filem Disney yang diumumkan ini, paling mengujakan adalah MCU fasa keempat. Selepas Avengers: Endgame berlawan-lawan untuk memegang takhta filem paling laris menyaingi Avatar – Disney sedar akan kehebatan filem Avatar. Oleh itu, bermula tahun 2021 sehingga tahun 2027 setiap dua tahun akan mempunyai 1 filem Avatar. Ia akan bermula dengan Avatar 2 pada tahun 2021.
Lain-lain pengumuman adalah seperti filem yang sudah selesai produksinya dan sudah bersedia untuk ditayangkan. Namun asyik ditangguh. Filem pertama adalah The New Mutants, iaitu filem bergenre seram yang dikatakan berkait dengan dunia X-Men. Ia akan ditayangkan pada 3 April 2020. Filem Artemis Owl pula telah menantikan giliran hampir setahun sejak Ogos 2018. Namun ia hanya akan ditayangkan pada bulan Mei 2020. Dari Fox, akan terdapat filem prekuel The Kingsman yang dijadualkan untuk ditayangkan pada bulan Februari 2020.

Seterusnya adalah perancangan buat syarikat produksi Blue Sky Animation. Syarikat ini bertanggungjawab untuk filem-filem seperti Ice Age. Bulan Mei tahun 2021 akan terdapa satu filem animasi yang diadaptasi daripada Nimona. Sebuah novel grafik hasil karya Noelle Stevenson. Untuk tahun ini, satu animasi berjudul Spies in Disguise akan ditayangkan. Will Smith akan melakonkan suara beliau dalam filem animasi ini.
Banyak filem yang dirancang selepas Disney membeli Fox. Syukur banyak syarikat produksi bawah Fox masih kekalkan operasi dan meneruskan projek mereka dan Disney tidak mematikannya. Setakat apa yang diumumkan terdapat lebih 60 filem yang telah dirancang. Antara kesemua filem ini, yang manakah filem kegemaran anda?