Informasi Permainan Video Terkini
Upin & Ipin Menjadi Filem Animasi Dengan Kutipan Tertinggi Di Malaysia

Upin & Ipin Menjadi Filem Animasi Dengan Kutipan Tertinggi Di Malaysia

Diterbitkan pada Apr 13, 2019 oleh .

Melalui sidang media khas yang dilakukan oleh Les’ Copaque semalam, mereka mengumumkan filem terbaru mereka untuk siri Upin & Ipin iaitu Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal telah mengutip RM25 juta selepas 21 hari ditayangkan, dengan jumlah penonton seramai 2 juta orang.

Kutipan tersebut menjadikan filem tersebut sebagai filem animasi dengan kutipan tertinggi di Malaysia mengalahkan Incredibles 2 yang memegang rekod tersebut sebelum ini dengan kutipan RM21 juta, namun kutipan tersebut adalah selepas 3 bulan ditayangkan berbanding Upin & Ipin – 3 minggu.

Bagi tayangan luar negara, filem tersebut akan ditayangkan di Vietnam pada 26 April manakala Indonesia bermula 9 Mei. Manakala negara seperti China, India dan Uzbekistan mungkin akan tiba tidak lama lagi.

Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Burhanuddin Md Radzi mengatakan kos penerbitan filem tersebut adalah RM20 juta menjadikan ia filem animasi termahal di Malaysia.

Tahniah kami ucapkan untuk pasukan produksi dan Les’ Copaque atas kejayaan ini. Kami berharap industri filem animasi Malaysia akan terus berkembang dan dapat menyaingi studio-studio terkenal seperti Pixar.


TIPS & ULASAN