Super Meat Boy Forever merupakan permainan yang dibangunkan untuk dijadikan sebagai versi permainan mudah alih untuk permainan tersebut, namun semasa pembangunan mereka menukar projek tersebut menjadi sekuel kepada Super Meat Boy yang dikeluarkan pada 8 tahun lepas.
Permainan tersebut sebelum ini diumumkan akan dikeluarkan pada bulan April 2019 selepas tertunda dari tahun 2018, namun Team Meat mengumumkan permainan tersebut tidak akan dikeluarkan pada bulan April kerana memerlukan sedikit masa lagi untuk pembangunan.
Di dalam pengumuman yang sama mereka juga mengatakan, Team Meat tidak berada di bawah syarikat Evil Asshat (merujuk kepada EA, mungkin?) yang mengawal keputusan mereka sebaliknya mereka dapat menentukan segala keputusan dengan sendiri.
Permainan tersebut bakal menerima video acah yang akan menyertakan tarikh baharu tidak lama lagi. Super Meat Boy Forever diumumkan untuk Playstation 4, Xbox One, Switch dan PC.