Permainan perlawanan pertama yang saya main adalah Street Fighter 2 semasa saya masih lagi berjinak-jinak dengan permainan video. Selepas sering menjadi bahan belasahan oleh abang sendiri, ia menjadi antara genre permainan yang saya cuba elakkan daripada bermain.
Sehingga sekarang pun ia bukan sesuatu yang saya berminat untuk mencuba. Permainan perlawanan terbaru yang saya pernah main sebelum ini adalah Injustice 2 dan Dragon Ball FigtherZ, akan tetapi sekadar kerana ingin mencuba menggunakan pelbagai watak yang disediakan tetapi masih tidak berminat untuk bermain dengan lebih lama.
Oleh disebabkan itu, apabila Nintendo mengumumkan Super Smash Bros Ultimate buat pertama kali pada Mac tahun lepas, saya tidak sangat berminat selain melihat reaksi pemain-pemain lain yang teruja dengan permainan tersebut. Nintendo kemudiannya mengumuhkan lebih lanjut mengenai watak-watak yang akan disertakan. Apabila Joker diumumkan semasa The Game Awards baru-baru ini, ia sekaligus membuat saya ingin mencuba.
Selepas mencubanya sejak ia dikeluarkan iaitu lebih kurang sebulan yang lepas, saya boleh katakan ia adalah satu permainan perlawanan yang sangat berbeza ataupun unik dan saya sangat menyukainya. Berikut adalah sebab-sebab mengapa;

Sistem Kawalan Yang Ringkas
Antara sebab utama saya tidak menggemari permainan perlawanan adalah kerana malas untuk menghafal kombinasi gerakan bagi melakukan sesuatu kuasa. Namun, Super Smash Bros Ultimate mempunyai sistem kawalan yang lebih ringkas. Selain serangan biasa, melompat dan berselindung hanya terdapat empat pergerakan kuasa lain.
Walaupun ia merupakan pertama kali saya mencuba permainan siri ini, tetapi dengan serta merta saya memahami cara untuk bermain. Ringkas, tidak bermaksud ia adalah senang, permainan ini masih mempunyai cara bermain yang lebih mendalam. Senang untuk faham tetapi sukar untuk menjadi mahir.

Watak-Watak Pelbagai Dan Menarik
Seperti yang saya katakan di atas, sebab utama yang membuatkan saya membeli permainan ini adalah kerana Joker daripada Persona 5 diumumkan akan hadir ke dalam permainan ini. Namun, selain Joker yang belum dikeluarkan lagi, watak-watak lain yang disediakan juga sangat menarik dan saya masih tidak membuka kesemua watak yang disertakan.
Tidak semua watak yang ada merupakan watak yang saya kenal ataupun pernah bermain permainan asal, namun, selepas mencuba watak tersebut ia memberikan satu perasaan seperti saya mengenali watak tersebut sudah lama. Pilihan watak daripada pelbagai permainan berbeza sudah semestinya sesuatu yang sangat unik untuk permainan ini.

Seronok Dimainkan Secara Solo
Permainan perlawanan hampir kesemuanya mempunyai mod bermain secara solo akan tetapi berdasarkan pencubaan saya permainan tersebut lebih dibina untuk bermain dengan rakan ataupun dengan pemain lain secara dalam talian dan menjadikan permainan secara solo sangat membosankan.
Ia agak berbeza dengan Super Smash Bros. Ultimate, walaupun sudah bermain hampir 10 jam, saya masih tidak mencuba untuk bermain secara dalam talian dan tidak rasa ingin untuk mencuba. Ia adalah kerana bermain secara solo tetap satu pengalaman yang menyeronokkan.
Terdapat pelbagai mod permainan solo yang disediakan, antaranya adalah Classic Mode yang bagi saya cara terbaik untuk bukan sahaja mengenali dan memahirkan diri mengawal sesuatu watak tetapi juga untuk membuka watak-watak lain.

The World of Light
Bercakap mengenai permainan solo, The World of Light merupakan satu mod yang sangat segar disediakan di dalam permainan perlawanan. Kebanyakan penceritaan ataupun mod permainan solo di dalam permainan perlawanan sekadar memfokuskan kepada watak dan pertempuran.
Berlainan dengan The World of Light yang menyediakan pelbagai perkara lain seperti Spirit dan juga cabang-cabang kebolehan yang membuatkan mod ini terasa seperti satu permainan RPG. Mod ini boleh digunakan untuk membuka watak-watak lain tetapi ia agak perlahan, sebaliknya mod ini dimainkan untuk keseronokan bentuk permainan yang disediakan.
Saya boleh katakan ia adalah mod permainan solo yang harus dijadikan sebagai contoh untuk permainan-permainan pertempuran yang lain
Saya tidak pasti jika selepas ini saya akan lebih terbuka untuk mencuba permainan perlawanan lain, namun jika ia menyediakan keseronokan bermain seperti mana yang ada di dalam Super Smash Bros. Ultimate, saya sudah semestinya akan berminat.
Untuk mengatakan ia adalah permainan perlawanan terbaik yang pernah dikeluarkan adalah bukan sesuatu yang saya boleh lakukan kerana saya tidak mempunyai pengetahuan serta pengalaman yang mencukupi, namun saya boleh katakan ia adalah satu-satunya permainan perlawanan yang saya akan terus bermain dan terus bermain, setakat ini