Dissidia Final Fantasy NT merupakan siri permainan Dissidia seterusnya oleh Square-Enix yang mana sebelum ini ia dilancarkan di kabinet arked sahaja buat pasaran Jepun. Ia dibangunkan oleh Team Ninja dan dilancarkan oleh Square-Enix dan Koei Tecmo. Namun pada Tokyo Game Show 2017 lepas, Square-Enix mengumumkan bahawa permainan tersebut akan dilancarkan secara esklusif di Playstation 4. Dengan ini, permainan tersebut akhirnya tiba di konsol rumah dan dilancarkan secara global pada 30 Januari lepas.
Walaupun ianya sebuah permainan kabinet arked, Square-Enix tidak lupa untuk menyertakan pelbagai kandungan baru termasuklah mod penceritaan solo yang mana mereka menghasilkan bentuk penceritaan baru dan merupakan penyambungan penceritaan daripada permainan Dissidia Duodecim Final Fantasy yang dilancarkan di Playstation Portable pada 2011 lepas.
Dissidia Final Fantasy NT merupakan permainan perlawanan yang memfokuskan pertempuran secara berkumpulan antara 3 lawan 3 pemain secara berpasukan. Seperti permainan Dissidia sebelum ini, permainan Dissidia Final Fantasy NT menyertakan sebilangan watak-watak daripada siri Final Fantasy yang telah dilancarkan oleh Square-Enix sebelum ini dan meletakkan mereka di dalam satu dunia yang sama. Bagi anda yang meminati siri Final Fantasy, ini merupakan satu konsep yang sangat menarik dimana anda akhirnya dapat melihat Lightning dari Final Fantasy XIII berinteraksi dengan Noctis dari Final Fantasy XV dimana mereka sebelum ini merupakan sebahagian daripada alam Fabula Nova Crystallis ketika pembangunan asal permainan tersebut. Namun adakah permainan ini menarik terutamanya bagi peminat yang pernah bermain Dissidia asal? Ini adalah ulasan penuh bagi permainan Dissidia Final Fantasy NT.
Penceritaan permainan Dissidia Final Fantasy NT merupakan sesuatu yang agak lemah bagi permainan tersebut. Bukan sahaja penceritaannya yang kurang menarik, malah cara bagaimana Square-Enix menyampaikan penceritaan tersebut juga agak menjengkelkan kerana pemain perlu menyah-kunci sebilangan kandungan penceritaan tersebut.
Dissidia Final Fantasy NT sememangnya menyambungan daripada Dissidia Duodecim Final Fantasy yang dilancarkan di Playstation Portable lepas, namun anda tidak perlu bermain permainan 2011 tersebut dimana penceritaan Dissidia Final Fantasy NT tidak terlalu berkaitan dengan penceritaan permainan sebelum ini. Namun bagi mereka yang bermain di PSP dahulu, anda pasti akan menghargai interaksi antara watak-watak yang terdapat di dalam permainan tersebut dan juga kemajuan watak tersebut. Contohnya watak Terra dari Final Fantasy VI yang lebih ramah disebabkan adegan yang berlaku di permainan sebelum ini.
Penceritaan Dissidia Final Fantasy NT kali ini memfokuskan dua tuhan iaitu Materia dan Spiritus. Seperti Cosmos dan Chaos sebelum ini, kedua-dua tuhan tersebut menyeru adiwira-adiwira dari dunia asal Final Fantasy dan membawa mereka ke dunia Dissidia untuk menentang dan menyelamat dunia tersebut daripada dimusnahkan. Walaubagaimana pun, penceritaan yang dipaparkan bukanlah sesuatu yang menarik. Dari segi penulisan, penceritaan permainan tersebut agak membosankan. Setiap adegan yang dipertontonkan pula sangat pendek dan agak berterabur kerana ia dibahagikan kepada beberapa garis masa mengikut watak sekaligus menghadkan penceritaan tersebut secara berperingkat. Ini juga berkait rapat dengan cara penyampaian penceritaan yang kami akan kongsikan di bawah.
Cara penyampaian penceritaan permainan Dissidia Final Fantasy NT merupakan kenapa permainan ini sangat tidak seronok untuk dimainkan. Penceritaan permainan ini dikuncikan mengikut adegan-adegan dimana pemain perlu menyah-kunci dengan menggunakan “Memoria” iaitu satu barangan yang pemain akan dapat apabila pemain menaik-taraf profil pemain. Ianya menjadi lebih pelik dimana pemain perlu “membeli” adegan-adegan penceritaan permainan tersebut dengan menggunakan “Memoria” untuk menonton penceritaan permainan tersebut. Manakala untuk menaik-taraf profil pemain dan mendapatkan “Memoria”, pemain perlu bermain mod arked ataupun bermain secara atas-talian dan bertempur sebanyak yang boleh untuk mendapat markah pengalaman.
Ini merupakan satu sistem yang sangat menjengkelkan kerana anda perlu sentiasa bertempur berulang-ulang kali untuk menaik-tarafkan profil pemain dan jika anda tidak mempunyai nilai “Memoria” yang mencukupi, anda perlu menyambung bermain mod arked ataupun mod multi-pemain dan bertempur berulang kali untuk mengumpul markah pengalaman. Sekaligus ia memotong kisah penceritaan dan membuat penceritaan tersebut tidak seronok untuk dimainkan.
Namun, dari segi mod penceritaan tersebut, “Memoria” di dalam Dissidia Final Fantasy NT juga membenarkan pemain untuk menyah-kunci sebilangan pertempuran bersama ketua-ketua musuh yang juga akan sertakan sebilangan adegan penyambungan adegan penceritaan. Pertempuran bersama ketua-ketua musuh merupakan sesuatu pertempuran yang sangat menarik dan juga sangat sukar untuk dimainkan. Sepanjang permainan tersebut, pemain akan bertempur dengan sebilangan Summons yang terdapat di dalam permainan tersebut seperti Bahamut, Ramuh dan sebagainya.
Dissidia Final Fantasy NT juga mempunyai sebilangan garis masa yang berbeza dimana ia akan memfokuskan sebilangan watak berlainan di setiap garis masa. Untuk mendapatkan pengakhiran permainan tersebut, pemain perlu menyah-kunci kesemua garis masa dan menonton kesemua adegan. Seperti yang diulas oleh kami diatas berkenaan adegan-adegan tersebut, ianya sememangnya memakan masa yang sangat panjang untuk mendapatkan pengakhiran permainan tersebut. Sekaligus ia membuat mod penceritaan permainan ini sangat menjengkelkan.
Dari segi grafik, Dissidia Final Fantasy NT memaparkan visual yang sangat cantik. Setiap rekaan watak, animasi dan kawasan latar dipamerkan dengan kualiti yang baik. Bagi anda yang pernah bermain permainan Dissidia Final Fantasy sebelum ini, anda pasti akan teruja dengan visual yang dipaparkan terutamanya watak-watak Final Fantasy dalam bentuk resolusi tinggi. Permainan ini juga dimainkan dengan baik secara 60FPS di Playstation 4 biasa dan juga Playstation 4 Pro.
Walaupun begitu, dari segi animasi eskpresi muka dan bibir, visual yang dipaparkan agak kurang tepat. Mungkin juga ia di animasikan melalui suara bahasa Jepun, sekaligus membuat animasi bibir bahasa Inggeris agak pelik untuk dipertontonkan.
Selain itu, visual efek yang dipaparkan juga sangat menarik untuk dipertontonkan. Seperti dunia siri permainan Final Fantasy yang penuh dengan magis, Dissidia Final Fantasy NT juga memaparkan visual efek yang menarik terutamanya apabila pemain membuat serangan dan memanggil Summons. Peta kawasan latar permainan tersebut juga seronok dimainkan dengan dari semasa ke semasa kawasan tersebut akan berubah. Contohnya seperti kawasan The Promised Meadow dari Final Fantasy VIII yang mana ia sentiasa berubah-ubah dari kawasan pasir lapang kepada kawasan berbunga.
Siri permainan Final Fantasy semestinya terkenal dengan muzik-muzik yang menarik. Dissidia Final Fantasy NT sememangnya tidak mengecewakan kerana muzik yang dipamerkan sangat merdu untuk didengar. Tambahan juga dengan sebilangan muzik-muzik daripada siri Final Fantasy yang lain juga membuat muzik permainan ini mempunyai jumlah muzik yang banyak dan pelbagai.
Menariknya juga, setiap watak yang dimainkan melalui permainan ini boleh diubahsuai senarai muzik yang pemain boleh tetapkan mengikut pilihan muzik pemain. Namun, sebilangan muzik yang terdapat di dalam permainan ini dikunci dan pemain boleh membelinya dengan menggunakan mata wang Gil di dalam permainan tersebut ataupun membuka kotak tikam yang pemain dapat ketika menjuarai sebarang sesi pertempuran.
Permainan ini juga mempunyai muzik baru yang reka khas buat permainan tersebut iaitu Massive Explosion yang merupakan salah satu muzik bersama lirik Final Fantasy yang sangat menarik. Muzik baru tersebut dipersembahkan oleh kumpulan muzik The Death March dan dinyanyikan oleh ChriS Ito.
Bagi yang sudah biasa dengan sistem pertempuran permainan Dissidia, anda pasti akan berasa mudah untuk bermain permainan ini. Namun, bagi mereka yang tidak pernah bermain permainan Dissidia sebelum ini anda mungkin akan mengalami sedikit kesukaran untuk bermain.
Dissidia Final Fantasy NT merupakan permainan pertempuran yang memfokus secara berpasukan 3 lawan 3. Dengan menggunakan sistem “Bravery” permainan ini mempunyai sistem perlawanan yang agak taktikal dan pemain perlu sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling permainan.
Sistem Bravery yang terdapat di dalam permainan ini merupakan sistem pertempuran utama. Tidak seperti permainan perlawanan yang lain, pemain perlu mengumpul markah Bravery dengan menggunakan serangan Bravery. Setiap kali pemain memukul pemain lain, markah Bravery akan meningkat dan pada masa yang sama, markah Bravery musuh akan berkurangan. Jika pemain menghabiskan markah Bravery musuh, musuh tersebut akan “Broken” dengan markah 0 dan markah Bravery pemain akan meningkat mendadak. Markah Bravery tersebut merupakan nilai markah serangan untuk serangan HP. Ini bermakna jika pemain mempunyai markah Bravery sebanyak 1000, serangan HP pemain akan mengurang 1000 nilai nyawa buat musuh. Nilai nyawa pula adalah bar yang berwarna biru yang terdapat di imej atas.
Tidak seperti permainan Dissidia sebelum ini, serangan Bravery tidak boleh ditetapkan dan kesemua serangan Bravery adalah berdasarkan watak masing-masing. Serangan yang boleh ditetapkan adalah hanya serangan HP. Namun memandangkan permainan ini memfokuskan bentuk permainan secara e-sukan dan multi-pemain, untuk menjaga keseimbangan permainan tersebut, segala tetapan lain watak tidak boleh diubahkan dan pemain tidak lagi boleh menukar kelengkapan watak dan sebagainya. Namun begitu, pemain berupaya untuk menukar kostum dan senjata watak yang mana ia adalah hanya menukar watak dalam bentuk kosmetik sahaja.
Dissidia Final Fantasy NT juga menyertakan dua “EX Skills” yang pemain boleh tetapkan. EX Skills tersebut merupakan kemahiran sampingan yang akan membantu pemain dari segi peningkatan nyawa ataupun serangan magis seperti memperlahankan serangan musuh dan sebagainya. Selain itu, setiap watak juga mempunyai EX Skills tersendiri yang mana ia variasi mengikut jenis watak.
Tidak seperti permainan Dissidia sebelum ini, EX Burst tidak lagi disertakan tetapi ia digantikan dengan sistem “Summons”. Pemain boleh memanggil sebilangan Summons yang terdiri daripada Summons terkenal dari siri Final Fantasy seperti Alexander, Shiva, Ifrit, Bahamut dan sebagainya. Setiap Summons juga mempunyai statistik yang berbeza dan akan memberi sebilangan pernaik-tarafan ketika bertempur.
Seperti Dissidia sebelum ini, pemain perlu mengumpul bar Summons dengan menyerang kristal dan apabila bar tersebut sudah penuh, pemain boleh memanggil Summons tersebut. Menariknya sebilangan Summons yang dipanggil akan berada di medan pertempuran selama 20 saat dan sekaligus akan mengubah keseluruhan bentuk perlawanan dimana pemain perlu bertempur dengan cara lebih taktikal untuk mengelak serangan Summons tersebut. Namun juga pemain yang memanggil Summons tersebut, pemain boleh menikmati dan melihat Summons tersebut merosakkan pasukan musuh.
Dissidia Final Fantasy NT juga mempunyai sistem kotak tikam, namun ianya hanya boleh didapatkan melalui kemajuan permainan dan tidak boleh dibeli menggunakan wang nyata. Tambahan juga kandungan kotak tikam tersebut hanyalah menyertakan kandungan kosmetik pemain ataupun barangan buat papan nama pemain dan muzik-muzik latar yang pemain boleh gunakan. Pemain juga diberi pilihan untuk membeli kandungan tersebut dengan menggunakan mata wang Gil yang terdapat di dalam permainan tersebut. Mata wang Gil pula boleh diperoleh dengan bermain permainan tersebut secara arked.
Dari segi mod permainan, Dissidia Final Fantasy NT menyertakan dua jenis mod pertempuran iaitu pertempuran biasa dan juga pertempuran “Core Battle”. Core Battle mempunyai cara pertempuran yang agak berbeza dimana pemain perlu memusnahkan kristal Core musuh dan core yang pertama dimusnahkan, akan tewas di dalam pertempuran tersebut. Selain dari mod tutorial, Dissidia Final Fantasy NT juga mempunyai mod secara multi-pemain dan juga mod arked dikenali sebagai Gauntlet Mode dimana pemain boleh bertempur dengan musuh secara solo melalui luar-talian.
Mod multi-pemain yang terdapat di dalam permainan ini sememangnya memfokus pertempuran secara berkumpulan dimana 6 pemain akan bertempur antara 3 lawan 3. Seperti pertempuran biasa, segala sistem Bravery dan juga sistem Summons boleh diguna pakai dalam mod multi-pemain.
Namun, mod multi-pemain agak mendukacitakan kerana ketika saya mencubanya, proses untuk mencari pemain mengambil masa yang agak lama sehingga 30 minit untuk menanti pemain-pemain lain. Kebanyakkan sesi multi-pemain yang saya bermain juga mempunyai sedikit kelambatan dari segi penyambungan.
Peliknya juga adalah jika pemain ingin bermain secara multi-pemain, pemilihan watak akan berlaku sebelum pemain menjumpai pemain-pemain lain. Sekaligus ia menjadi agak janggal dimana kordinasi antara pasukan menjadi sangat rawak dan sememangnya setiap watak di dalam permainan tersebut mempunyai kelemahan dan kekuatan masing-masing. Dengan pemilihan yang berlaku sebelum pencarian sesi multi-pemain tersebut membuatkan permainan ini menjadi terlalu tidak terkawal dari segi taktikal strategi pertempuran.
Akhir kata, permainan Dissidia Final Fantasy NT agak mengecewakan. Walaupun dari segi bentuk permainan ia seronok dimainkan, dicampur dengan sistem Bravery yang agak taktikal bersama bentuk perlawanan yang kompleks dengan fungsi Summons yang memuaskan. Tambahan juga, kualiti permainan dari aspek visual yang menawan dicampur impak audio yang menarik. Namun dukacitanya aspek positif permainan tersebut berhenti setakat itu sahaja. Ini kerana dengan mod penceritaan yang seakan dibangunkan dan disertakan secara saat akhir, ia membuat permainan ini agak kurang berbaloi untuk dimainkan dan merasa ia memerlukan terlampau banyak masa untuk melakukan pertempuran secara berulangan kali.
Dissidia Final Fantasy NT juga tampaknya dibangunkan khas buat peminat-peminat Final Fantasy yang mana ia penuh dengan adegan dan interaksi antara watak-watak Final Fantasy. Terutamanya bagi mereka yang meminati Noctis dari Final Fantasy XV, Square-Enix juga tidak melepaskan peluang untuk mempamerkan watak tersebut di dalam permainan ini. Namun begitu, langkah Square-Enix dan Team Ninja untuk memfokuskan permainan tersebut ke arah e-sukan membuat permainan ini tidak seronok dimainkan dan ia seakan hanyalah permainan dari kabinet arked yang dipindahkan ke konsol.
Kod ulasan digital permainan ini disediakan oleh Sony Interactive Entertainment