Bersempena dengan beta terbuka permainan Metal Gear Survive yang berlangsung minggu ini, Konami juga berkongsi trailer terbaru buat permainan tersebut dengan memaparkan sebilangan bentuk permainan yang pemain boleh lakukan ketika bermain secara koperasi.
Menariknya juga, permainan tersebut mempunyai pelbagai bentuk permainan yang menarik dan berlainan daripada permainan Metal Gear Solid V The Phantom Pain sebelum ini dengan sebilangan senjata baru dan juga senjata serangan jarak dekat.
Selain daripada mengumpul barangan untuk teruskan hidup seperti yang dipertontonkan oleh Konami sebelum ini, trailer terbaru ini memfokuskan bentuk permainan secara multi-pemain dimana pemain perlu bekerjasama untuk menewaskan zombi-zombi yang terdapat di dalam permainan tersebut. Disebalik keupayaan untuk memasang perangkap, terdapat juga pelbagai senjata jarak dekat yang kuat buat pemain. Tambahan juga, pemain juga berupaya untuk menukar pelbagai jenis kostum buat watak di dalam permainan tersebut.
Pada penghujung trailer tersebut juga, Konami memaparkan Metal Gear Ray daripada Metal Gear Solid 2 Sons Of Liberty akan berada di dalam permainan tersebut. Buat masa ini, Konami masih belum menyatakan bahawa Metal Gear Ray tersebut boleh dinaiki oleh pemain ataupun ia akan jadi musuh pemain.
Namun dengan adanya Metal Gear Ray, jangka masa permainan tersebut menjadi agak pelik dimana sepatutnya Metal Gear Survive berlaku ketika selepas Metal Gear Solid V Ground Zeroes, dimana ketika itu Metal Gear Ray masih belum dihasilkan. Namun kita mungkin akan mendapat jawapan berkenaan perkara ini apabila ia dilancarkan kelak.
Metal Gear Survive akan dilancarkan pada 20 Februari 2018 ini di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC. Bagi anda yang berminat untuk mencuba permainan ini, Konami juga mengumumkan beta permainan tersebut akan bermula pada 18 sehingga 21 Januari ini melalui konsol Playstation 4 dan Xbox One.