Setelah sekian lama kita tidak mendapat sebarang kemaskini berkenaan permainan Final Fantasy VII Remake yang diumumkan ketika E3 2015, kini penerbit permainan tersebut, Yoshinori Kitase menyatakan bahawa permainan tersebut di dalam proses pembangunan dan berjalan dengan sangat lancar.
Menurut laporan Dualshocker, ketika Yoshinori Kitase ditemu ramah oleh majalah mingguan Famitsu, beliau menyatakan bahawa pembangunan permainan tersebut sedang dibangunkan dengan baik. Apabila ditanya berkenaan matlamat beliau untuk 2018, beliau menerangkan bahawa permainan pernambah-baikkan akan dihasilkan dengan keadaan ‘selesa’. Namun, keterangan ini juga tidak diterangkan dengan lanjut.
Menariknya juga, pada November lepas, Shinji Hashimoto, pengurus penjenamaan Final Fantasy juga menyatakan bahawa 2018 merupakan tahun yang besar buat Final Fantasy. Walaupun beliau tidak menyatakan sebarang kaitan berkenaan Final Fantasy VII Remake, namun setelah 3 tahun permainan tersebut diumumkan, kita mungkin akan dapat melihat sedikit kemaskini berkenaan permainan tersebut pada tahun ini.
Kami sendiri di Aksiz juga tidak sabar untuk mengetahui perkembangan lanjut berkenaan permainan tersebut, dimana ia asalnya diumumkan ketika E3 2015 yang lepas dan dirancang untuk dilancarkan di konsol Playstation 4. Seperti biasa, kami akan berkongsi sebarang berita berkenaan permainan tersebut apabila ia diumumkan kelak oleh Square-Enix.