Transformers adalah spesis makhluk asing yang berasal dari planet Cybertron. Ia adalah sejenis makhluk mekanikal atau sejenis robot yang mempunyai kemampuan berubah bentuk kepada dinosaur atau pelbagai jenis kenderaan. Transformer mempunyai dua kumpulan iaitu Decepticon yang jahat dan yang baik adalah Autobots. Decepticon diketuai oleh Megatron dan Optimus Prime pula mengetuai Autobots.

Transformers turut mempunyai francais filem yang diarahkan oleh Michael Bay. Filem tersebut adalah Transformer (2007), Revenge of the Moon (2009), Dark of the Moon (2011), Age of Extinction (2014) dan The Last Knight (2017). Selepas Michael Bay mengarah lima filem Transformers, untuk filem keenam Travis Knight menggantikan Michael Bay sebagai pengarah. Filem keenam adalah Bumblebee, iaitu prekuel kepada kesemua filem Transformers. Ini adalah ulasan.

AMARAN! Artikel Ini Mungkin Mengandungi Sedikit Beberan

Jalan Cerita Dan Watak

Filem ini fokus kepada sejarah Bumblebee,seperti bagaimana nama Bumblebee diberi, kerana nama asalnya adalah B-127. Kemudian ia turut bercerita bagaimana Bumblebee turun ke bumi dan bagaimana wujudnya pangkalan Autobots di bumi. Pasti ramai sudah tahu dalam filem-filem Transformers yang sebelumnya, Bumblebee tidak boleh bercakap. Jadi dalam filem ini ia menceritakan bagaimana Bumblebee hilang kemampuan untuk bercakap. Ia berkait dengan wakil Decepticon yang bernama Blitzwing yang sudah berada di bumi.

Cuma, kisah Bumblebee dalam ini sedikit mengelirukan. Dari pengalaman saya yang sudah menonton kesemua filem Transformers, kisah Bumblebee ini tidak konsisten. Ia menjadikan saya tertanya-tanya filem ini adakah ia prekuel atau reboot?

Dalam filem ini, hero lelakinya bukanlah Shia LaBeouf atau Mark Wahlberg – tetapi adalah John Cena yang berlakon sebagai Agent Burns. Agent Burns adalah ketua kepada satu pasukan askar. Agent Burns dalam filem ini dilihat kurang gemar akan kehadiran Transformers di bumi kerana memikirkan robot-robot ini adalah ancaman.

Pada penghujung filem, terdapat perubahan kepada watak John Cena. Perubahan sikap atau pemikiran Agent Burns bagi saya agak pantas untuk beliau mengubah fikiran dari A kepada B. Cara John Cena berlakon dalam filem agak baik. Tetapi terasa adegan dan babak dengan penampilan beliau sedikit kurang. Ini adalah selari dengan slogan kata John Cena ‘You Can’t See Me‘.

Watak utama dalam filem ini selain daripada Bumblebee adalah Charlie Watson yang dilakonkan oleh Hailee Steinfield. Charlie dalam filem ini adalah seorang remaja yang baru sahaja capai umur 18 tahun dan memperlihatkan adegan yang sama seakan Transformers (2007) di mana watak utama gembira menerima kereta pertama mereka. Lakonan Hailee Steinfield dalam filem ini juga baik. Watak yang dibawa sesuai dan menarik untuk dilihat. Tetapi dari segi jalan ceritanya, kita mungkin tidak akan lihat lagi kemunculan Hailee Steinfield dalam francais Transformers. Ini kerana Bumblebee sudah bertukar menjadi kereta Camaro 1977 generasi kedua. Camaro inilah yang muncul dalam filem Transformers (2007) dan menjadi kereta pilihan Sam Witwicky (lakonan Shia LaBeouf).

Sepanjang cerita ini adalah kisah persahabatan antara Charlie dan Bumblebee. Jalan cerita persahabatan Charlie dan Bumblebee ini penuh dengan drama. Ada adegan yang lucu, penuh komedinya. Terdapat juga adegan Bumblebee bertindak ‘comel’ yang membuat penonton berasa seronok untuk tonton. Tetapi, sepanjang kisah persahabatan Charlie dan Bumblebee inilah yang bagi saya sedikit bosan.

Idea

Idea dan konsep filem ini agak menarik. Ia adalah prekuel kepada filem-filem Transformers. Jalan penceritaan sejarah Bumblebee yang menyeronokkan. Ia menjawab persoalan peminat/penonton kenapa Bumblebee tidak boleh bercakap. Penggunaan rekaan Transformers G1 adalah sesuatu yang unik dan lain daripada yang lain. Ia memperingatkan penonton kepada animasi Transformers yang terdahulu.

Melalui idea baru ini dan arahan daripada Travis Knight, ia seolah memberi harapan di mana kelak akan ada lagi prekuel Transformer dan/atau sekuel kepada Bumblebee. Ini kerana penampilan Transformers G1 kurang dan kita tidak lihat kemunculan musuh yang lebih hebat seperti Megatron atau petanda kepada kewujudan AllSpark.

Oh ya, seperti yang saya katakan tadi – filem ini sedikit mengelirukan. Ia seolah tidak konsisten dengan Transformers yang pertama yang ditayangkan pada tahun 2007. Kisahnya tidak padan antara satu sama lain. Anda akan faham apabila tonton Bumblebee dan Transormers (2007).

Grafik

Grafik filem ini tidak dinafikan ianya hebat. Walaupun Michael Bay tidak arah filem ini, beliau bersama-sama dengan Steven Spielberg masih lagi terlibat sebagai penerbit. Jadi grafik agak hebat dan adegan-adegan yang penuh dengan CGI cukup baik. Tetapi ada beberapa adegan mempunyai babak yang CGI dan grafiknya ‘kantoi‘, nampak kartunnya dan tidak begitu realistik.

Kesimpulan

Keseluruhan, filem ini agak baik dan menarik. Tetapi, apabila video acah filem ini dikeluarkan dan memperlihatkan rekaan Transformers G1 – harapan untuk lihat watak-watak Transformers G1 ini agak tinggi. Sayang sekali, hanya beberapa adegan sahaja. Selebihnya hanya fokus kepada Bumblebee. Kemudian, jalan cerita di tengah-tengah sedikit perlahan dan pendapat saya ia terasa sedikit bosan.

Aksi kurang, tetapi cukup baik. Kandungan komedi dan jalan cerita cukup baik. Sayang sekali, musuhnya kelihatan begitu mudah untuk ditewaskan. Ada satu adegan pendek di pertengahan kredit, jadi jangan terus keluar dari dewan panggung wayang. Tetapi, tiada adegan rahsia di pasca kredit. Patutkah anda tonton filem ini? Jika ingin lihat sejarah Bumblebee, ya tonton – tetapi jika harapan anda tinggi kepada Transformers G1 atau pertempuran yang melibatkan Optimus Prime, lupakan sahaja.

Sohor Kini