Dunia Sanctuary bakal boleh diakses menerusi permua dengan pengumuman Diablo Immortal di acara BlizzCon 2018 pagi ini. Permua MMORPG ini akan menyambung jalan cerita lima tahun selepas usainya Diablo II : Lord of Destruction. Sebuah trailer jalan cerita dan aksi permainan dipertontonkan bagi memberikan petunjuk kualiti grafik yang boleh dinantikan pemain.
Diablo Immortal dibangunkan oleh Blizzard dan Netease. Pemain boleh menggunakan watak Monk, Demon Hunter, Barbarian, Necromancer, Wizard dan Crusader secara berkumpulan di atas talian. Pendaftaran minat boleh dilakukan sekarang menerusi pautan di bawah. Tiada maklumat bilakah Immortal akan dilancarkan.
Menarik sekali pengumuman ini menerima kecaman peminat tegar Diablo yang kecewa Diablo IV tidak diumumkan. Mereka yang terdiri daripada pengguna PC menantikan sambungan kepada Diablo III sejak 2012. Permua Diablo dilihat sebagai pembelotan Blizzard terhadap peminat siri berusia 22 tahun yang sinonim dengan platform PC selama ini.