Walaupun sudah dikeluarkan 5 tahun lepas, GTA V terus dibeli dan sering tersenarai di dalam permainan yang terjual terbanyak, penyebab utama adalah kerana tarikan GTA Online.
Permainan solo GTA V tidak menerima sebarang penambahan kandungan akan tetapi berbeza dengan GTA Online. Ia sudah menerima pelbagai penambahan yang membuatkan permainan atas talian tersebut terus dimainkan.
Terbaru, Rockstar mengumumkan penambahan After Hours akan tiba pada 24 Julai 2018. Melalui penambahan ini pemain dibolehkan untuk mengurus kelab malam mereka sendiri.
Trailer yang dipertontonkan untuk penambahan ini turut memperlihatkan watak Gay Tony iaitu watak yang semestinya dikenali ramai jika pernah bermain DLC penceritaan untuk GTA IV, Grand Theft Auto: The Ballad of Gay Tony. Selain itu turut ada adalah watak berdasarkan DJ dunia sebenar iaitu Solomun, Tale of Us, Dixon dan The Black Madonna.
Buat masa ini Rockstar tidak berkongsi lanjut mengenai penambahan ini. Kami akan kemaskini jika ada maklumat baharu. GTA Online disediakan bersama GTA V yang dikeluarkan untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.