Kami sebelum ini menulis artikel yang boleh dikatakan sebagai surat terbuka untuk Sony agar mereka menukar polisi mereka agar fungsi rentas-platform dibuka secara penuh. Walaupun Sony telah mengeluarkan kenyataan akan tetapi bagi kami masih tidak mencukupi.
Jika sebelum ini ia adalah mengenai Fortnite, kini giliran Bethesda pula mempunyai masalah dengan polisi Sony ini. Menurut pengarah Fallout 76 Todd Howard, beliau mengatakan untuk permainan Fallout 76 yang memfokuskan multi-pemain, fungsi rentas-platform adalah sesuatu yang sangat diidamkan.
Namun begitu buat masa ini ia adalah mustahil dan beliau mengatakan Sony tidak bertolak ansur sepertimana yang diharapkan oleh orang ramai. Buat masa ini Fallout 76 mempunyai fungsi rentas-platform tetapi di antara Xbox One dan PC sahaja.
Dengan perkembangan industri permainan video yang mula memfokuskan permainan multi-pemain dan permainan sebagai servis, fungsi rentas-platform adalah satu perkara yang menjadi keperluan. Kami sangat berharap Sony akan mengumumkan berita yang baik tidak lama lagi.
Fallout 76 merupakan permainan pasca-apokaliptik seterusnya buat siri Fallout. Ia dirancang untuk dilancarkan buat konsol Playstation 4, Xbox One dan PC pada 14 November 2018.