Dengan pelancaran permainan Star Wars Battlefront II minggu ini, nampaknya EA mengalami beberapa kontroversi berkenaan kemajuan permainan tersebut yang melibat mikro-transaksi permainan tersebut. Antaranya adalah keupayaan untuk menggunakan watak-watak seperti Darth Vader dan Luke Skywalker di dalam bentuk mod multi-pemain dimana pemain perlu membeli watak tersebut dengan nilai kredit permainan yang sangat tinggi sekaligus memberi kesukaran buat pemain untuk mendapatkannya.

Melalui pautan Reddit, salah seorang pengguna Reddit tersebut menyatakan beliau membayar sebanyak $80(~RM335) hanyalah untuk mendapatkan watak Darth Vader. Sekaligus bebenang Reddit tersebut dikecam oleh pemain terutamanya selepas maklum balas EA. Menurut pengguna Reddit EACommunityTeam, proses kemajuan permainan tersebut merupakan salah satu bentuk kejayaan dan kebanggaan bagi pemain untuk mendapatkan watak tersebut. Namun dengan maklum balas tersebut, EA mendapat “downvote” paling rendah dalam sejarah Reddit disebabkan maklum balas tersebut.

Walaupun watak-watak tersebut boleh didapatkan secara bermain permainan tersebut berterusan, namun dengan nilai mata wang kredit yang terlampau tinggi sehinggalah melebihi 40 jam sesi permainan untuk hanyalah mendapatkan seorang watak, ia memberi kesukaran yang terlampau dan bantahan oleh seluruh pemain.

Selepas seharian bantahan daripada pemain, EA akhirnya mengambil keputusan untuk mengurangkan nilai mata wang kredit untuk mendapatkan watak-watak di dalam permainan Star Wars Battlefront II sehingga 75%. Mata wang yang dikurangkan daripada 60,000 kredit bagi watak Darth Vader dan Luke Skywalker, kini ia dikurangkan sehingga 15,000 kredit. Bagi watak Palpatine, Chewbacca dan Leia kini watak tersebut hanyalah 10,000 kredit berbanding 40,000 ketika pelancaran permainan tersebut. Kemaskini tersebut bermula hari ini menurut EA.

Menurut EA juga, mereka bakal menyertakan AMA (Ask Me Anything) di Reddit pada jam 1:30AM pada 16 November (Waktu Malaysia) untuk menjawab segala soalan-soalan daripada pemain dengan harapan untuk memberi jawapan terhadap komuniti pemain.

Tindakan EA tersebut sememangnya menunjukkan bahawa EA dan DICE mendengar segala rintihan pemain-pemain. Ini juga merupakan kemajuan dimana mikro-transaksi menjadi satu kebiasaan buat permainan video sekarang.

Star Wars Battlefront II adalah permainan penembak pandang pertama yang dibangunkan oleh DICE dan dikeluarkan oleh EA. Ia merupakan kesinambungan bagi permainan Star Wars Battlefront yang dilancarkan 2015 lepas. Ia bakal tiba di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC pada 17 November ini.

Sohor Kini