Hari ini, Sony Interactive Entertainment akhirnya mengemaskini aplikasi Playstation untuk iOS dan Android. Sony sebelum ini telah membuat kemaskini untuk aplikasi Playstation Messages dan Playstation Communities, namun aplikasi utama Playstation tidak mendapat sebarang kemaskini sehingga hari ini.
Dengan kemaskini 17.11.0, aplikasi Playstation telah diubahsuai dengan rekaan antaramuka yang lebih moden dengan terbahaginya kepada empat bahagian iaitu bahagian What’s New, Friends, Notification dan Profile. Bahagian What’s new merupakan bahagian yang sama yang terdapat di konsol Playstation dimana pemain berupaya untuk melihat segala berita, kemaskini status rakan dan sebagainya.
Manakala, bahagian Profil kini juga terdapat kemaskini antaramuka Following yang dilancarkan bersama kemaskini Nobunaga yang dilancarkan Oktober lepas. Pengguna juga boleh melihat senarai permainan dan trofi dengan lebih mudah dengan kemaskini terbaru tersebut.
Pengguna juga boleh mengakses pelbagai fungsi Playstation melalui ikon utama Playstation yang terdapat ditengah aplikasi tersebut untuk melihat fungsi-fungsi seperti trofi, acara akan datang dan juga mengakses Playstation Store. Selain itu, pengguna juga boleh mengakses aplikasi-aplikasi Playstation yang lain melalui butang ikon utama Playstation tersebut.
Melalui kemaskini ini juga, fungsi PS4 Second Screen kini juga telah diasingkan dengan aplikasi yang berlainan dimana sebelum ia disertakan bersama aplikasi utama Playstation. Kini anda perlu memuat-turun aplikasi berlainan untuk menggunakan fungsi PS4 Second Screen.
Kemaskini ini sudah boleh dimuat-turun sekarang melalui Google Play Store untuk Android dan juga App Store untuk iOS.