Informasi Permainan Video Terkini
Permainan Realiti-Maya Dengan Konsep Seumpama PUBG Bakal Dilancarkan
PC

Permainan Realiti-Maya Dengan Konsep Seumpama PUBG Bakal Dilancarkan

Diterbitkan pada Okt 20, 2017 oleh .

PUBG atau PlayerUnknown’s Battlegrounds merupakan salah satu permainan yang diperkatakan ramai pada tahun ini, dan mempunyai lebih 2 juta pemain serentak melalui Steam. Beberapa pembangun dan penerbit permainan sedia menawarkan permainan dengan konsep yang serupa – dinamakan konsep Battle Royale, termasuk melalui GTA V dan juga Fortnite.

Kini, selain daripadanya, sebuah permainan baru dinamakan Virtual Battlegrounds bakal dilancarkan. Permainan yang masih lagi pada peringkat pembangunan ini menawarkan bentuk permainan yang lebih kurang sama seperti PUBG – tetapi dengan penggunaan realiti-maya.

Berbeza dengan PUBG, Virtual Battlegrounds ini hanya terhad kepada 16 pemain pada sesuatu masa – tetapi pengguna masih mendapat pengalaman terjun dari kapal terbang, menggunakan payung terjun, mengambil senjata, dan membunuh pihak lawan.

Buat masa ini, pembangunnya telah memulakan pendaftaran minat untuk mencuba versi pembangunan permainan berkenaan. Versi akhir untuknya dijangka dilancarkan untuk HTC Vive dan Oculus Rift pada tahun hadapan.