Dengan pelancaran permainan perlumbaan Gran Turismo Sport yang berlangsung hari ini, Sony Interactive Entertainment Taiwan mengumumkan berkas permainan Gran Turismo Sport yang disertakan bersama kereta 2018 Mazda MX-5.
Berkas ini berharga $46,600(~RM196,722) dan ia hanyalah terdapat satu unit sahaja. Berkas ini juga disertakan bersama konsol Playstation 4 Pro, Playstation VR, langganan Playstation Plus selama 12 bulan, televisyen Sony Bravia 4K HDR, alat kawalan memandu Thrustmaster T-GT bersama set kerusi memandu APIGA AP1 dan permainan Gran Turismo Sport.
Walaubagaimana pun, berkas tersebut telah pun terjual dan memandangkan berkas ini hanyalah terdapat satu unit sahaja, Sony mungkin tidak akan mengeluarkan lagi berkas tersebut.
Namun demikian, bagi mereka yang ingin mendapatkan berkas Playstation 4 bersama Gran Turismo Sport, anda mungkin berminat dengan berkas Playstation 4 edisi Gran Turismo Sport yang diumumkan Ogos yang lepas.
Gran Turismo Sport adalah permainan perlumbaan yang dibangunkan oleh Polyphony Digital dan dikeluarkan oleh Sony Interactive Entertainment secara esklusif di Playstation 4 bermula hari ini. Anda boleh membeli permainan ini mulai sekarang di Playstation Store ataupun mana-mana pengedar rasmi Playstation.