Hari ini Bandai Namco mengumumkan di mingguan Famitsu, watak terbaru buat permainan realiti-maya Summer Lesson iaitu Chisato Shinjo. Chisato merupakan watak pelajar yang ketiga selepas Hikari Miyamoto dan Allison Snow – yang mana pemain berupaya untuk ‘mengajar’. Summer Lesson: Chisato Shinjo bakal dilancarkan di pasaran Jepun pada 12 Oktober ini.
Bandai Namco juga mengumumkan edisi Deluxe dimana ia akan disertakan bersama figura Chisato dan tema Playstation 4 dengan harga ¥ 8,320(~RM325). Bagi edisi biasa pula, permainan realiti-maya ini akan berharga ¥2,980(~RM117).
Chisato Shinjo adalah anak perempuan jutawan dimana beliau mengupah cikgu, atau pemain untuk mengajarnya subjek pengetahuan am dan juga trend fashion. Bandai Namco juga mengumumkan pelbagai penambahan bagi permainan ini seperti mod Red Carpet Magic Hour, Cool Breeze Break Time, adegan tambahan Evening Youth Chapter dan Performance Chapter.
Buat masa ini, Bandai Namco masih belum lagi mengumumkan versi global, tetapi kami di Aksiz percaya permainan ini bakal dilancarkan secara global kerana watak pertama, Summer Lesson: Hikari Miyamoto sudah dilancarkan secara global pada awal tahun ini.
Bagi mereka yang tidak sabar untuk mengajar Chisato Shinjo, anda juga boleh mendapatkan versi Jepun pada 12 Oktober ini khas buat Playstation VR.