Masquerada: Songs And Shadows merupakan permainan yang dibangunkan di Singapura oleh Witching Hour Studios. Permainan ini dilancarkan di Steam pada tahun lepas, dan akhirnya, kini ia bakal hadir ke konsol Playstation 4.
Permainan ini merupakan permainan isometrik aksi pengembaraan seakan siri permainan Diablo. Saya sempat mencuba permainan ini ketika PSX 2017 SEA yang diadakan pada minggu lepas, dan ia mempunyai bentuk permainan yang menarik. Demo permainan yang dipertontonkan adalah agak lama, sekaligus memberikan saya peluang yang banyak untuk mendalami permainan tersebut. Apa yang menarik bagi saya adalah tetapan dunia permainan ini. Ia seolah dunia Masquerade dari budaya Itali. Setiap watak juga mempunyai topeng dan setiap rekaan topeng berlainan sekaligus memberikan keunikkan dari segi perwatakan.
Apa yang menarik ketika saya bermain permainan ini adalah suara latar bagi setiap watak tersebut. Pelakon suara latar popular seperti Matthew Mercer dan Jennifer Hale juga terlibat didalam permainan ini, sekaligus memberi cara penceritaan permainan ini sangat menarik dengan pelakon-pelakon tersebut.
Permainan ini juga mempunyai visual yang sangat menawan. Dengan berkonsepkan Masquerade, ia memaparkan rekaan watak dan kawasan Itali yang menarik. Bagi bentuk permainan pula, saya berpeluang untuk bermain dengan beberapa serangan khas yang disediakan terhadap watak saya. Menariknya, setiap serangan khas diletakkan di butang asas kiri sekaligus memberi kesenangan untuk saya membuat serangan tersebut. Saya hanya perlu menekan butang tersebut sekali, dan terus menekan R2 untuk membuat serangan.
Dengan kawalan yang mudah dan senang difahami, permainan ini memberikan saya kebolehan untuk melakukan serangan dengan pantas ketika dalam pertempuran. Permainan ini juga mempunyai mod strategi dimana dengan menekan L1, masa akan berhenti dan pemain boleh membuat pelbagai taktik serangan termasuklah berpeluang untuk memberikan arahan bagi teman-teman permainan yang lain. Asasnya permainan ini sememangnya mudah untuk dimainkan, tetapi setelah saya bermain ke peringkat seterusnya, saya dapati saya sering membuat masa berhenti untuk mengatur strategi serangan saya terhadap musuh, sekaligus mengubah permainan ini dari ke permainan aksi ke permainan berbentuk strategi. Ia mungkin bukan untuk semua pemain, tetapi bagi saya, konsep permainan tersebut sangat menarik dan memberi pelbagai bentuk jenis pertempuran dan strategi yang saya boleh laksana untuk berlawan dengan musuh.
Bagi saya, permainan ini semenangnya sangat menarik dan patut dimainkan oleh kesemua peminat permainan isometrik aksi pengembaraan, terutamanya bagi mereka yang berminat dengan siri Diablo. Permainan ini bakal dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat ini.