Skip to main content

Far Cry 5 adalah sebuah permainan keluaran Ubisoft yang merupakan siri permainan Far Cry kelima yang bakal dilancarkan pada 27 Februari 2018 kelak. Ia adalah permainan dunia terbuka, penembak pandang pertama yang mengambil latar sebalik kawasan Montana di Amerika Syarikat. Permainan ini bakal dilancarkan untuk Playstation 4, Xbox One dan PC.

Far Cry 5 adalah antara permainan yang disediakan demo kiosk pada acara PSX 2017 SEA lepas dan saya sendiri sempat mencuba permainan tersebut. Apabila bermula demo permainan, saya diberi peluang untuk memilih peneman untuk mengikut saya ketika pertempuran. Antara tiga peneman yang boleh saya dipilih adalah Boomer, seekor anjing; Grace, penembak hendap; dan Nick Rye, juruterbang yang akan membantu kita dari udara.

Dari segi bentuk permainan, Far Cry 5 tidak ada apa-apa perbezaan dari segi permainan penembak yang lain. Saya ditugaskan untuk mengambil-alih gereja yang dirampas oleh musuh. Bentuk permainan begini mengingatkan saya dengan permainan-permainan Ubisoft yang lain, dimana pemain ditugaskan untuk mengambil-alih beberapa kawasan untuk membuka lagi banyak kawasan-kawasan di dalam permainan. Apabila mencuba permainan ini, saya dapati ia adalah perkara yang sama. Dengan adanya sistem peneman juga, ia mengingatkan saya kepada permainan seperti Metal Gear Solid V The Phantom Pain.

Secara jujurnya, permainan ini tidak mempunyai apa-apa bentuk permainan yang unik dari permainan penembak yang lain. Ia masih lagi sebuah permainan Far Cry, cuma ia ditukarkan tempat dan kawasan ke lokasi baru. Demo tersebut juga merupakan demo yang pendek dan apabila saya berjaya menghapuskan kesemua musuh, serta berjaya mengambil-alih gereja tersebut, demo tersebut sudah habis dimainkan.

Ubisoft mengumumkan permainan ini boleh dimain secara perseorangan atau secara bersama pemain yang lain melalui atas talian. Pemain juga boleh membina watak sendiri ketika permulaan permainan ini.

Far Cry 5 akan dilancarkan pada 27 Februari 2018, bagi anda yang ke PSX 2017 SEA 5 Ogos lepas, adakah anda sempat bermain permainan ini? Berikan pendapat anda di bawah.

Leave a Reply