Skip to main content

Stifled adalah permainan yang dibangunkan di Singapura oleh Gattai Games dan dikeluarkan oleh Sony Interactive Entertainment. Permainan ini merupakan permainan seram realiti-maya yang bakal dilancarkan di Playstation VR dan juga PC.

Pada PSX 2017 SEA yang lepas, Gattai Games menyediakan demo permainan tersebut untuk dicuba oleh semua pengunjung. Permainan ini menggunakan konsep seperti Daredevil, dimana pemain akan hilang keupayaan untuk melihat dan pemain hanya boleh melihat keadaan sekeliling dengan menggunakan teknik sonar.

Terdapat dua cara untuk pemain menggunakan sonar tersebut, antaranya ialah dengan menggunakan mikrofon yang terdapat di Playstation VR dengan menjerit atau berkata-kata untuk mengeluarkan sonar tersebut, manakala cara kedua adalah dengan menggunakan alat kawalan Dualshock 4 dengan menggunakan R2.

Anda juga boleh mengambil atau mengutip barang dan membaling barangan tersebut untuk membuat pantulan bunyi sonar. Teknik ini juga dapat melekakan musuh dan pada masa yang sama memberi peluang untuk anda melarikan diri.

Sepanjang permainan ini, anda akan menemui pelbagai musuh dan perlu menyelesaikan pelbagai jenis misteri. Pada permulaan demo permainan tersebut, anda akan kehilangan keupayaan untuk melihat sedikit demi sedikit disebabkan oleh kemalangan. Setelah anda kehilangan keupayaan untuk melihat, skrin akan menjadi gelap dan anda hanya boleh melihat menggunakan sonar sahaja.

Konsep permainan ini sangat menarik sekaligus memberi pengalaman yang sangat seram. Permainan ini juga boleh dimainkan tanpa menggunakan Playstation VR. Bagi mereka yang kurang berani untuk bermain dalam mod realiti-maya, anda boleh bermain permainan ini seperti biasa di TV.

Saya juga sempat menemu bual bersama salah seorang staf dan pereka permainan dari Gattai Games iaitu Justin Ng. Beliau menyatakan permainan ini bakal dilancarkan tahun ini di Playstation Store dan juga Steam.

Bagi anda menggemarkan permainan dengan genre seram, saya sangat mengesyorkan permainan ini. Ia sememangnya memberi saya pengalaman yang sangat menakutkan, terutamanya ketika bermain bersama Playstation VR.

Leave a Reply