Skip to main content

Bravo Team merupakan permainan penembak realiti-maya yang dibangunkan oleh Supermassive Games dan dikeluarkan oleh Sony Interactive Entertainment. Saya sempat bermain permainan ini ketika di PSX 2017 SEA 5 Ogos yang lepas.

Permainan ini boleh dimainkan dengan menggunakan Aim Controller yang dilancarkan bersama Farpoint pada bulan Mei yang lepas. Walaubagaimanapun, pengalaman ketika saya mencuba permainan ini adalah sangat kecewa. Antaranya ialah pepijat yang berada di dalam permainan ini membuat saya tidak boleh bermain dengan elok. Ketika saya bermain permainan ini, tangan watak yang saya mainkan sering bertukar arah sekaligus ia menjadi clipping membuatkan pandangan saya menjadi sukar untuk dimainkan.

Permainan ini juga mempunyai kawalan yang pelik kerana fungsi analog di Aim Controller tidak digunakan secara penuh. Saya tidak dapat menggerakkan watak saya dengan menggunakan analog, tetapi hanya boleh memilih kawasan mana untuk saya pergi dan dengan menekan X, watak saya akan ke kawasan tersebut dan dia tidak boleh bergerak sehingga saya memilih kawasan yang lain. Ketika watak saya bergerak pula, kamera tidak akan mengikut watak saya tersebut, sekaligus merosakkan pengalaman mendalam realiti-maya kerana saya seolah menjadi orang ketiga dan hanyalah melihat watak saya ke kawasan yang seterusnya.

Walaubagaimanapun, dari segi bentuk permainan dengan Aim Controller, permainan ini boleh dimain dengan baik sekali. Dengan menyasarkan alat kawalan tersebut, ia sememangnya sedikit senang untuk menembak sekaligus sangat intuitif. Menariknya juga adalah ketika saya bermain demo permainan ini, ia adalah mod koperasi antara dua pemain. Saya dan pemain sebelah saya diberi peluang untuk menentang musuh secara kolaborasi dan mengingatkan saya terhadap permainan seperti Time Crisis. Tetapi dari segi kolaborasi tersebut pula tak banyak yang boleh dilakukan oleh pemain kecuali hanya menembak ke arah musuh. Ia tidak mempunyai apa-apa sistem koperasi untuk interaksi sesama pemain.

Akhir kata, permainan ini tidaklah begitu seronok untuk dimain. Dengan pelbagai pepijat dan ciri permainan yang pelik, saya menghadapi pelbagai masalah untuk meneruskan bermain permainan ini. Buat masa ini, pembangun Bravo Team masih tidak lagi berkongsi tarikh pelancaran bagi permainan ini. Seperti biasa, kami di Aksiz akan berkongsi berita permainan ini pada masa akan datang.

Leave a Reply